Panduan Pemasangan Jalur Gemilang Mengikut Etika Yang Betul

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut cara pemasangan Jalur Gemilang dengan betul.
Isi Kandungan
Apa Itu Jalur Gemilang?
Jalur Gemilang adalah nama rasmi untuk bendera Malaysia dan ia bermaksud “Jalur Kecemerlangan” atau “Jalur Kemegahan” dan merupakan simbol kebanggaan dan perpaduan rakyat Malaysia.
Bendera ini terdiri daripada 14 jalur merah dan putih yang melambangkan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan, serta bintang dan bulan sabit berwarna kuning di atas latar biru yang melambangkan Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Bendera ini direka oleh Mohamed Hamzah pada tahun 1949 dan pertama kali dikibarkan pada tahun 1950.
Nama “Jalur Gemilang” diberikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1997, sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-40.
Jalur Gemilang adalah simbol kebanggaan, perpaduan dan kedaulatan negara Malaysia.
Hak Mengibarkan
Setiap rakyat berhak mengibarkan Jalur Gemilang dengan syarat mengikut arahan atau panduan yang ditetapkan.
Jalur Gemilang perlu dikibarkan secara tertib sebagai lambang kebesaran dan kedaulatan negara sama ada sewaktu menaikkan atau menurunkannya.
Sebelum mengibarkan Jalur Gemilang, faktor tempat, masa, saiz bendera, tiang dan susunan bendera sekiranya lebih dari satu jenis bendera perlu diketahui bagi mengelakkan kesalahan protokol mengibarkannya.
Mengikut arahan Jabatan Perdana Menteri melalui Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1994: Pengibaran Bendera Malaysia Di Bangunan-Bangunan Persekutuan Di Seluruh Negara, Pejabat-Pejabat Kerajaan Persekutuan, Badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan Bendera Persekutuan iaitu Jalur Gemilang.
Selain itu, orang ramai digalakkan mengibarkan bendera ini di kediaman, premis-premis perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai.
Pekeliling ini juga menetapkan bendera ini hendaklah dikibarkan pada hari-hari bekerja, Hari Kebesaran Persekutuan dan Hari Kebesaran Negeri.
Walau bagaimanapun, bendera ini boleh dikibarkan pada bila-bila masa dan di mana-mana selagi kesesuaian dan kehormatan terhadap bendera terpelihara.
Cara Pemasangan
Insiden bendera terbalik mencetuskan perbincangan mengenai tahap kesedaran rakyat terhadap etika mengibarkan Jalur Gemilang, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Orang ramai yang ditemui berpendapat kepentingan semangat patriotik serta pemasangan Jalur Gemilang perlu mengikut tatacara yang betul.
Setiap pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan bendera ini dipasang dengan tepat dan bukan sekadar meletakkannya tanpa pemeriksaan.
Kedudukan bendera Malaysia ini juga perlu diperiksa dengan teliti, termasuk memastikan bahagian atas dan bawah berada pada posisi yang betul.
Justeru, berikut dikongsikan cara pemasangan bendera Malaysia dengan betul untuk rujukan semua rakyat Malaysia.


Etika Penggunaan
Berikut adalah etika-etika penggunaan Jalur Gemilang yang perlu diambil perhatian sebelum memasang bendera ini, iaitu:
- Jalur Gemilang hendaklah dipasang secara melintang sahaja.
- Jika disambung dalam kuantiti yang banyak (flagline), kedudukan bendera haruslah dipasang secara melintang juga.
- Bendera 𝐁𝐎𝐋𝐄𝐇 disambung dalam kedudukan melintang dengan kuantiti yang banyak (flagline).
- Bendera 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐁𝐎𝐋𝐄𝐇 disambung dalam kedudukan menegak dengan kuantiti yang banyak (flagline).
- Bendera segitiga 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐁𝐎𝐋𝐄𝐇 disambung dalam kuantiti yang banyak (flagline).
- Dari sudut hadapan, kiri Banner Malaysia bermula dengan jalur bewarna merah dan diakhiri dengan jalur bewarna putih.
- Banner Malaysia harus mempunyai bentuk ekor di bawah yang berukuran 1/8 daripada panjangnya.
- Banner Malaysia 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐁𝐎𝐋𝐄𝐇 dikibarkan secara melintang.
- Penggunaan bendera pelbagai gaya pada alas meja, kusyen, langsir, payung, tuala mandi, pelitup muka, kain tudung, topi, songkok, tanjak, sampin, pakaian dan sebagainya adalah 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐃𝐈𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑𝐊𝐀𝐍.
- Objek seperti botol, pasu, tiang, tin, tudung saji dan sebagainya yang dibalut dengan bendera atau dilukis menyerupai bendera adalah 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐃𝐈𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑𝐊𝐀𝐍.
- Penggunaan warna asas dan motif bendera (merah, putih, biru dan kuning) sahaja 𝐃𝐈𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑𝐊𝐀𝐍.
- Penggunaan bendera pelbagai gaya, gambar serta bentuk yang diubah fizikal bendera itu untuk dijadikan iklan bagi tujuan mempromosikan Sambutan Bulan Kebangsaan 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐃𝐈𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑𝐊𝐀𝐍.
- Penggunaan bendera dalam penghasilan logo 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐃𝐈𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑𝐊𝐀𝐍 sama sekali.
- Penggunaan bendera dalam infografik 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐃𝐈𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑𝐊𝐀𝐍 bertindih di antara teks dan bendera.
Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Oleh yang demikian, menaikkan dan menurunkannya juga hendaklah dalam keadaan tertib dan cara yang sopan.
Untuk dapatkan info lanjut mengenai Jalur Gemilang ini, anda boleh rujuk DISINI.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!
Artikel Berkaitan: Peranan Terhadap Bendera Malaysia Menurut Perspektif Islam.




