Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Panduan Solat Tarawih Bersendirian Sepanjang PKP

1 Ramadhan tahun ini sedikit berlainan memandangkan semua umat Islam di Malaysia bakal mengerjakan solat tarawih bersendirian memandangkan PKP dilanjutkan sehingga 28 April. Menjelang bulan Ramadhan ini, eloklah kita mengetahui atau mengulangi kembali cara solat Tarawih sama ada secara sendirian atau berjemaah supaya kita sama-sama dapat menghidupkan malam-malam bulan yang mulia ini.

Ada banyak kelebihan solat sunat terawih dan antaranya disebutkan dalam hadis Nabi SAW :

“Barang siapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu”. – HR Muslim

Isi Kandungan

Hukum Solat Sunat Tarawih

Hukum solat sunat terawih adalah sunat Muakkad, iaitu yang sangat dituntut (dikerjakan) oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan. Solat sunat terawih boleh dikerjakan sama ada secara berseorangan mahupun berjemaah di masjid, surau, atau di rumah.

Panduan Solat Tarawih Bersendirian Sepanjang PKP 1

Waktu Solat

Ditunaikan selepas menunaikan solat Fardhu Isyak dan sunat ba’diah (selepas isyak) dua rakaat.

Bilangan Rakaat

Sembahyang sunat Tarawih ditunaikan seperti solat sunat biasa, iaitu dua rakaat satu salam, kemudiannya diulangi lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

Di Malaysia, umumnya kita melihat ada surau dan masjid yang mendirikan sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.

Ini bukanlah satu masalah kerana pada zaman Rasulullah SAW sembahyang Tarawih biasanya dikerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan keberatan. Walau bagaimanapun terdapat juga hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan solat terawih sebanyak 20 rakaat.

Cara Solat Terawih

Berikut adalah cara solat sunat tarawih yang boleh dilakukan sama ada secara sendirian atau berjemaah.

1. Lafaz Niat Solat Terawih

Lafaz niat sembahyang sunat Tarawih adalah seperti berikut :

اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا ِللهِ تَعَالَى

Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat
*(menjadi makmum / imam) kerana Allah Taala.

2. Menyempurnakan Rukun Solat Yang Lain

Rukun sembahyang sunat Tarawih ini samalah dengan rukun sembahyang yang lain juga. Ini bermaksud, selepas lafaz niat dan takbiratul ihram, kita perlu membaca al-Fatihah, surah pilihan, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan kemudian meneruskan rakaat kedua sehinggalah bacaan tahiyat akhir dan diakhiri dengan salam.

Jumlah rakaat boleh dilakukan sama ada 8 rakaat (4 salam) atau 20 rakaat (10 salam).

3. Bacaan Surah

Secara ringkasnya, sebenarnya kita boleh membaca apa-apa surah yang dihafal. Namun pada malam 1 hingga 15 Ramadhan boleh juga dibacakan surah-surah yang tertentu pada rakaat pertama mengikut susunan seperti:

  • Surah Al-Takathur
  • Surah Al-Asr
  • Surah Al-Humazah
  • Surah Al-Fil
  • Surah Quraisy
  • Surah Al-Ma’un
  • Surah Al-Kautsar
  • Surah Al-Kafi run
  • Surah An-Nasr
  • Surah Al-Masad

Pada tiap-tiap rakaat yang kedua pula dibaca surah al-Ikhlas.

Dari malam 16 hingga akhir Ramadhan,

  • Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Qadr.
  • Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadhan iaitu bermula dari surah al-Takathur hingga kepada surah al-Masad.

*Penentuan sesuatu surah seperti yang disebutkan itu hanyalah untuk memudahkan kita mengingati bilangan rakyat sahaja dan kerana itu seseorang boleh membaca mana-mana surah atau ayat yang diingatnya.

Selawat & Wirid Antara Solat

Acara selawat dan bacaan tertentu ketika memulakan atau di antara solat terawih tidaklah dimestikan jika kita tidak menghafalnya. Namun, tidak salah juga jika kita ingin mengamalkannya kerana tujuannya adalah untuk menambahkan lagi ibadat pada bulan yang mulia ini.

tarawih

tarawih

tarawih tarawih tarawih tarawih tarawih

Cara Solat Sunat Witir

Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan sembahyang sunat Witir selepas sembahyang sunat Tarawih sebanyak 3 rakaat. Sunat Witir ini ditunaikan sepertimana solat sunat lain, namun dengan bilangan rakaat ganjil.

Secara ringkasnya, berikut adalah cara solat witir 3 rakaat yang mudah:

  1. Dilakukan 3 rakaat dengan dua salam. (2 rakaat + 1 rakaat)
  2. Lafaz niat sembahyang sunat Witir: Sahaja aku sembahyang sunat Witir 1 rakaat / 2 rakaat (makmum / mengikut imam) kerana Allah Taala.
  3. Solat seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
  4. Pada malam ke-16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca qunut pada rakaat yang akhir. Lafaznya sama dengan lafaz qunut sembahyang Subuh.
  5. Boleh dibacakan apa-apa surah selepas surah al-Fatihah, namun afdalnya boleh dibaca surah berikut:
    • Rakaat pertama – surah Al-A’la
    • Rakaat kedua – surah Al-Kafirunn
    • Rakaat ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas

Download Panduan JAKIM

Untuk memudahkan anda membuat rujukan, anda boleh merujuk panduan solat terawih oleh JAKIM di pautan berikut:

http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Panduan-Solat-Terawih-Jakim—2020.pdf

Semoga dengan panduan ini kita dapat menambah amal dan memantapkan lagi penghayatan kita terhadap bulan Ramadhan agar ia memberi manfaat dan faedah yang besar untuk kita semua.

Artikel lain: Huffaz TVET Hasil Kerjasama ILP dan Tahfiz

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More