Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Data percuma 1GB dilanjut hingga 31 Julai

Data 1GB Percuma Dilanjutkan!

Pemberian data percuma 1GB secara harian sejak April tahun lalu bagi membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi semasa dilanda pandemik Covid-19 dilanjutkan sehingga 31 Julai 2021.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, keputusan itu berdasarkan persetujuan yang diberikan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM).

“Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat atas ehsan dan keprihatinan syarikat-syarikat telekomunikasi memandangkan situasi pandemik Covid-19 di negara ini masih belum stabil.

“Tambahan lagi, ia untuk membantu pelajar-pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

data

Katanya, kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

“Ianya tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, YTL Communications Sdn. Bhd (YTL) turut menyatakan sokongan untuk terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 September depan.

“Ia turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi.

“Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40,” katanya.

MCMC berkata, pihaknya berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian itu diharap dapat memberi kelegaan kepada rakyat menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.

“Kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir,” ujarnya.

Sumber Kosmo Online

Artikel lain: Peranan Majlis Harga Barang

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More