Pengecualian Waktu Bekerja Syif 45 Jam Seminggu Petugas Kesihatan

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut info terkini mengenai Pengecualian Waktu Bekerja Syif petugas kesihatan yang telah diumumkan oleh Kerajaan pada baru-baru ini.
Isi Kandungan
Maksud Waktu Bekerja Shif
Waktu Bekerja Syif ialah waktu bekerja secara giliran yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan sesuatu perkhidmatan yang melebihi dari waktu bekerja pejabat.
Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab untuk memastikan mana-mana perkhidmatan yang sesuai untuk melaksanakan Waktu Bekerja Syif supaya penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.
Pelaksanaan bagi Waktu Bekerja Syif adalah mengikut syarat-syarat seperti berikut:
- Jumlah jam bekerja seminggu adalah 45 jam termasuk waktu rehat.
- Sekiranya jumlah jam bekerja adalah kurang 45 jam seminggu, maka pengiraan 45 jam secara purata selama 4 minggu berturutan boleh diambil kira.
- Sekiranya, jumlah purata jam bekerja bagi tempoh 4 minggu berturutan melebihi 45 jam, tempoh jam yang lebih itu hendaklah dianggap sebagai kerja lebih masa. Ini kerana pegawai telah bekerja melebihi jumlah jam bekerja yang ditetapkan oleh Kerajaan.
- Jumlah jam bekerja sehari adalah di antara 8 jam hingga 12 jam termasuk 1 jam rehat dalam tempoh waktu bekerja tersebut.
- Ketua Jabatan dibenarkan untuk menyusun giliran hari bekerja antara 4 hari hingga 6 hari seminggu tertakluk kepada jumlah jam bekerja seminggu dipatuhi. Seminggu ialah tempoh 7 hari yang berterusan bermula pada hari Isnin.
- Pegawai juga hendaklah diberikan minimum 1 hari rehat atau maksimum 3 hari rehat dalam seminggu tertakluk kepada penyusunan giliran jadual bertugas. Sekiranya hanya 1 hari rehat diberikan kepada pegawai, hari rehat tersebut dikenali sebagai Hari Kelepasan Mingguan (HKM). Jika hari rehat diberikan lebih dari 1 hari, hari rehat tambahan dikenali sebagai Hari Rehat Mingguan (HRM). Dalam hal ini, Ketua Jabatan hendaklah menetapkan penyusunan HKM dan HRM pegawainya bagi memudahkan urusan pentadbiran khususnya berkaitan tuntutan bayaran Elaun Lebih Masa (ELM).
- Sekiranya giliran bertugas pegawai jatuh pada Hari Kelepasan Am, maka pegawai hendaklah bertugas mengikut giliran pada hari tersebut. Walau bagaimanapun, pegawai layak menuntut ELM atas kadar Hari Kelepasan untuk jumlah jam bertugas mengikut gilirannya. Sekiranya pegawai ingin bercuti pada hari tersebut, maka pegawai hendaklah memohon cuti rehat yang berkelayakan baginya.
- Hari bagi Waktu Bekerja Syif adalah satu tempoh berterusan 24 jam bermula dari bila-bila masa pegawai itu memulakan kerja syif pada hari itu dan hanya 1 syif dibenarkan dalam tempoh 1 hari bekerja.
Makluman Pengecualian Waktu Bekerja Syif Dari 45 Jam Kepada 5 Skim Kritikal Di Bawah KKM
Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebimbangan yang disuarakan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan Waktu Bekerja Syif 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Setelah meneliti secara mendalam keperluan operasi dan hakikat tugas kritikal yang dijalankan oleh petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa, Kerajaan melihat tanggungjawab sedemikian menuntut tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kebajikan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk memberi Pengecualian Waktu Bekerja Syif bagi lima (5) skim perkhidmatan kritikal di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.
Pengecualian Waktu Bekerja Syif ini melibatkan seramai 82,637 petugas kesihatan, merangkumi:
- Jururawat.
- Jururawat Masyarakat.
- Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan.
- Penolong Pegawai Perubatan.
- Pembantu Perawatan Kesihatan.


Langkah Pengecualian Waktu Bekerja Syif ini diambil adalah sebagai komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mendengar dan mengambil tindakan terhadap suara serta kebajikan petugas kesihatan yang menjadi kepada tunjang sistem kesihatan negara.
Maklumat lanjut
Sebarang maklumat lanjut mengenai Pengecualian Waktu Bekerja Syif ini, sila rujukĀ Portal Rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!




