Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Aduan Kepada Jabatan Buruh

Aduan Kepada Jabatan Buruh Malaysia

Aduan Kepada Jabatan Buruh atau kini dikenali sebagai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM). Apabila pekerja menghadapi masalah di tempat kerja, selain mendapatkan khidmat nasihat bersama kaunselor di Jabatan Tenaga Kerja (JTK), mereka juga boleh membuat aduan kepada Jabatan Buruh atau JTK.

  • Jabatan Buruh kini dikenali sebagai Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
  • Jika serius, rujuk kes anda dengan segera kepada JTK.
  • Dapatkan khidmat nasihat dan pendapat pihak JTK sebelum membuat keputusan seterusnya mengenai apa bentuk tindakan yang boleh anda lakukan.

 

Isi Kandungan

Isi Kandungan

  • Aduan Kepada Jabatan Buruh (JTKSM)
  • Akta Kerja 1955
  • Cara Membuat Aduan
  • Mahkamah Buruh
  • Kuasa Pengarah JTK

 

Aduan Kepada Jabatan Buruh (JTKSM)

 

Sebarang permasalahan, atau pertikaian antara pekerja dan majikan hendaklah dibawa kepada Jabatan Tenaga Kerja berdekatan (dahulunya Jabatan Buruh). Kaedah lengkap untuk membuat aduan boleh didapatkan di laman web JTK: http://jtksm.mohr.gov.my/en/ 

aduan kepada jabatan buruh
Website Department of Labour Peninsular MALAYSIA

Pilih kaedah yang sesuai mengikut keadaan atau situasi anda, sebaiknya berbincang dengan pihak JTK untuk mencari penyelesaian terbaik buat anda. Kaji selidik segala hak-hak dan pilihan yang ada buat anda sebelum anda membuat keputusan untuk apa jua tindakan seterusnya.

Seperti yang dinyatakan di laman web JTK, sekiranya aduan dibuat oleh pekerja terhadap majikannya, maka ianya hendaklah atas sebab majikan tidak mematuhi peruntukan undang-undang buruh yang mengakibatkan pekerja kehilangan sesuatu faedah kewangan (monetary benefit) atau faedah bukan kewangan (non-monetary benefit).

 

Akta Kerja 1955

 

Contoh ketidakpatuhan majikan terhadap peruntukan tersebut adalah:

  • Tidak dibayar gaji
  • Tiada cuti tahunan diberikan
  • Tidak melaporkan penggajian pekerja asing
  • Tiada kontrak perkhidmatan (bertulis)
  • Majikan lewat membayar gaji
  • Majikan tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2012
  • Majikan tidak mematuhi Akta Umur Persaraan Minimum 2012
  • Dan lain-lain.

Semuanya berkait-rapat dengan faedah minima yang termaktub di dalam Akta Kerja 1955 mahupun Ordinan Buruh Sabah & Sarawak.

 

Aduan kepada Jabatan Buruh: Faedah Minima Akta Kerja 1955
Jika faedah minima ini tidak dipatuhi, secara automatik anda boleh membuat aduan kepada Jabatan Buruh (JTKSM).

 

 

Cara Membuat Aduan

 

Pengadu boleh membuat aduan melalui beberapa cara berikut:

  1. Hadir sendiri ke Pejabat Tenaga Kerja yang berhampiran dengan tempat kerja
  2. Surat kepada Jabatan Tenaga Kerja
  3. Telefon ke talian telekerja JTK (senarai telekerja)
  4. Emel rasmi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

 

Namun begitu, bagi mempercepatkan tindakan terhadap Aduan Perburuhan, pengadu perlu hadir sendiri ke Pejabat Jabatan Tenaga Kerja dengan membawa segala bentuk dokumen yang diperlukan, termasuk bukti-bukti sebagai sokongan. Dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  1. Kad Pengenalan/ Pasport
  2. Surat Lantikan/ Kontrak Perkhidmatan
  3. Slip Gaji/ Slip Bayaran Upah
  4. Kad kedatangan
  5. Surat Tunjuk Sebab/ Surat Penamatan Kerja (Jika berkaitan)
  6. Dokumen lain yang berkaitan kontrak penggajian.

 

Setiap aduan yang dibuat, akan dikendalikan oleh Pegawai Buruh Terlatih di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja mengikut kawasan tempat pekerjaan pengadu. Siasatan akan dibuat dan majikan akan dipanggil untuk memberi penjelasan. Jika majikan enggan mengakui kesalahan yang telah dibuat, kedua-dua pihak majikan dan pekerja akan dipanggil untuk pendengaran kes di Mahkamah Buruh.

 

Mahkamah Buruh

Mahkamah Buruh bukanlah suatu mahkamah yang diwujudkan oleh Akta seperti Mahkamah Perusahaan. Ianya lebih kepada suatu sesi pendengaran kes yang dijalankan di bawah Seksyen 69B yang memberi kuasa kepada Pengarah JTK untuk menyiasat dan membuat keputusan.

Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Buruh ini boleh merayu di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.

 

Kuasa Pengarah JTK

Secara amnya kuasa Pengarah JTK (Director General) adalah seperti berikut:-

  • menyiasat dan membuat keputusan mengenai pertikaian antara majikan dan pekerja
  • menyiasat akan aduan yang dibuat mengenai soal-soal pekerjaan seperti gaji tidak berbayar, faedah atas penamatan kontrak dan sebagainya
  • menyiasat lain-lain hal seperti pedaftaran majikan dan dokumen-dokumen berkaitan pekerjaan
  • memanggil mana-mana pihak yang boleh memberi keterangan bagi tujuan siasatan
  • dsb.

Sebaiknya, pihak majikan dan pekerja disarankan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian antara mereka tanpa ada campurtangan pihak ketiga. Walaubagaimanapun, sekiranya perbincangan menemui jalan buntu, anda sentiasa boleh mendapatkan khidmat nasihat sebelum membuat aduan kepada Jabatan Buruh (JTKSM).

Artikel berkaitan:

8 Tips Meningkatkan Motivasi Anda di Tempat Kerja

[RASMI] BANTUAN UNTUK YANG KEHILANGAN PEKERJAAN – PERKESO

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More