Baucar Buku Guru MADANI 2025, Hadiah Ilmu Bagi Golongan Pendidik

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai Baucar Buku Guru MADANI 2025, iaitu satu inisiatif yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai hadiah untuk guru-guru Malaysia.
Isi Kandungan
Inisiatif Baucar Buku Guru MADANI 2025
Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan dedikasi para guru, semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) kini layak menerima Baucar Buku bernilai RM100 untuk pembelian bahan bacaan berkualiti secara dalam talian bermula 1 Julai 2025 sehingga 30 September 2025.
Inisiatif Baucar Buku Guru MADANI 2025 memberi manfaat kepada lebih 430,000 PPP bawah KPM telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Inisiatif ini adalah hadiah ilmu bagi golongan pendidik bertujuan untuk membudayakan amalan membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.

Syarat Kelayakan
Syarat-syarat kelayakan untuk mendapatkan Baucar Buku Guru MADANI 2025 adalah seperti berikut:
- PPP yang layak adalah mereka yang masih berkhidmat di Kementerian Pendidikan pada tempoh Julai hingga 31 Disember 2025.
- Bagi PPP yang layak tetapi tidak mempunyai ID DELIMa, sila laporkan perkara ini kepada HELPDESK DELIMa di alamat e-mel [email protected].
Tatacara Penembusan
Penebusan Baucar Buku Guru MADANI 2025 ini boleh dibuat secara dalam talian dengan mengikut langkah-langkah berikut:
- Layari laman utama DELIMa 2.0 dan klik pautan “Tebus Baucar Buku Guru MADANI”. Penebusan boleh dilakukan bermula 1 Julai 2025, jam 12.00 tengah hari.
- Daftar menggunakan DELIMa ID di Portal Book Capital. Baucar RM100 akan dikreditkan secara automatik bagi PPP yang layak.
- Pilih sekurang-kurangnya satu (1) judul daripada senarai “Judul Khas Baucar Buku Guru”. Baucar hanya sah untuk satu (1) transaksi sahaja. Jika jumlah pembelian melebihi RM100, PPP boleh membuat bayaran tambahan secara atas talian.
- Penjual menerima notifikasi pesanan. Penjual diberi masa 3 hari bagi mengesahkan pesanan dan 6 hari bagi memproses pesanan untuk diserahkan kepada kurier.
- Kurier akan menghantar pesanan ke alamat penghantaran yang didaftarkan oleh PPP.
- Proses pesanan PPP selesai dan status pesanan bertukar ke ‘FINISHED’ jika tiada sebarang isu dalam tempoh 5 hari selepas pesanan dihantar.

Tatacara penebusan Baucar Buku Guru MADANI 2025 di Portal Book Capital yang lebih tereperinci, boleh rujuk PDF berikut:
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan berkaitan Baucar Buku Guru MADANI 2025 ini, sila gunakan SISTEM TIKET SOKONGAN melalui akaun Book Capital. Caranya adalah seperti berikut:
- Klik ‘Dashboard’ > ‘Help’ > ‘Open Ticket’.
- Pilih kategori BAUCAR BUKU GURU MADANI 2025.
- Tulis dan hantar pertanyaan atau aduan anda.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!



