Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Konflik Israel-Palestin : China gesa gencatan senjata

BEIJING: China berpendirian gencatan senjata adalah kaedah sangat diperlukan bagi menghentikan keganasan ke atas penduduk Palestin sambil menegaskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab meredakan konflik.

Menteri Luar, Wang Yi, menyuarakan pendirian China itu berhubung konflik Palestin-Israel dalam perbincangan menerusi telefon dengan Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood semalam.

Katanya, konfrontasi itu berulang kali tercetus apabila konflik tidak dapat diselesaikan secara adil sehingga proses damai Asia Barat terbabas dari landasan asal. Selain itu, resolusi Majlis Keselamatan PBB juga gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Wang Yi berkata, selaku pengerusi bergilir Majlis Keselamatan PBB untuk Mei, China dua kali merintis usaha untuk mengadakan rundingan kecemasan mengenai konflik Palestin-Israel, namun tiada kesepakatan dicapai.

Konflik Israel-Palestin : China gesa gencatan senjata 1

China menggesa semua anggota Majlis Keselamatan PBB menggalas tanggungjawab yang sepatutnya dan menyumbang secara praktikal terhadap usaha memelihara keamanan serta keselamatan serantau.

Sementara itu, Wang Yi berkata, pelaksanaan penyelesaian dua negara menjadi kaedah muktamad bagi penyelesaian isu Palestin.

Justeru, China akan mempengerusikan debat terbuka mengenai konflik Palestin-Israel di Majlis Keselamatan PBB dan berharap semua pihak mencapai konsensus mengenai isu ini.

Selain menyokong teguh perjuangan rakyat Palestin dalam usaha mendapatkan hak mereka yang sah, China menyarankan penyelesaian isu itu dibuat secara adil melalui dialog politik dan PBB, Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memainkan peranan bersifat membina dalam penyelesaian isu itu.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Israel sasar YouTuber Muslim

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More