Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Cikgu Samuel Isaiah Terima Ucapan Tahniah Agong – Finalis Anugerah Guru Global 2020

Kejayaan seorang guru bahasa inggeris iaitu Cikgu Samuel Isaiah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sam yang tercalon dalam 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 telah mendapat pujian daripada Agong. Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah serta sukacita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang itu dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

cikgu samuel isaiah
Sumber Facebook

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat dan komitmen Samuel, menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para guru untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan,” katanya menerusi kenyataan Istana Negara hari ini.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara. Anugerah yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.16 juta) itu merupakan program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

cikgu samuel
Sumber: Facebook

Isi Kandungan

Siapakah Cikgu Samuel Isaiah?

Beliau adalah guru bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang yang dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020. Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi bagi memberi inspirasi kepada muridnya yang terdiri daripada orang asli untuk menyimpan impian besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Antara program diperkenalkan Samuel ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’ dan murid-murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dari dalam dan luar negara. Samuel juga memperkenalkan program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) iaitu projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan orang asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Purata Pelajar Lulus Meningkat

Sejak pengenalan pelbagai program oleh guru berkenaan, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah tersebut meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada 2015-2018. Samuel juga pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira 2019.

Finalis lain adalah Ranjitsinh Disale dari India, Olasunkanmi Opeifa (Nigeria), Jamie Frost (United Kingdom), Carlo Mazzone (Itali), Mokhudu Cynthia Machaba (Afrika Selatan), Leah Juelke (Amerika Syarikat) and Yun Jeong-hyun (Korea Selatan).

“Tahniah kepada Samuel Isaiah kerana terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis daripada sejumlah besar guru berbakat dan berdedikasi.

“Saya berharap kisahnya akan menjadi inspirasi kepada mereka yang ingin memasuki profesion perguruan dan juga mengetengahkan karya luar biasa yang dilakukan oleh guru di Malaysia dan seluruh dunia,” kata Penolong Ketua Pengarah Pendidikan UNESCO, Stefania Giannini.

Kisah Beliau Pernah Dipuji Dr Maszlee Malek

Berikut merupakan tulisan yang dimuat naik oleh Dr Maszlee Malek pada beberapa tahun yang lalu.
“Kisah Cikgu Samuel Isaiah yang mengajar anak-anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Pahang begitu memberikan kesan dalam kita melihat peranan signifikan yang boleh dimainkan oleh guru untuk meneroka potensi unggul dalam jiwa seseorang murid. Beliau merupakan guru subjek Bahasa Inggeris yang memiliki daya kreativiti dan keazaman yang tinggi untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid Orang Asli.”
“Pelbagai pendekatan yang digunakan beliau ternyata membuahkan hasil membanggakan apabila tahap prestasi anak-anak di sekolah berkenaan untuk subjek Bahasa Inggeris dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melihatkan peningkatan yang signifikan. Malah ada beberapa murid berjaya mendapat A untuk subjek berkenaan. Tahniah buat Cikgu Samuel di atas usaha gigih ini. Semoga kisah cikgu memberikan inspirasi buat guru-guru lain untuk terus bersemangat mencurahkan bakti buat anak-anak Malaysia.”

Acara Kemuncak Pada 3 Disember

Yayasan tersebut akan mengumumkan seorang demi seorang finalis setiap minggu dari senarai 10 guru finalis tersebut dalam tempoh 10 minggu menjelang kemuncak upacara Hadiah Guru Global 2020 pada 3 Disember ini, yang buat pertama kalinya diadakan secara maya kerana ancaman COVID-19.

“Anugerah Guru Global diwujudkan bagi mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh guru dalam masyarakat. Dengan menggali seribu kisah ‘hero-hero’ yang telah merubah kehidupan golongan muda ini, adalah diharapkan, hadiahnya dapat mengangkat karya terbaik guru di seluruh dunia,” kata pengasas anugerah hadiah tersebut, Sunny Varkey.

“Guru, tanpa mengira di mana mereka berada harus dipuji atas kreativiti, ketabahan dan tekad untuk memenuhi hak setiap kanak-kanak dalam mendapatkan pendidikan terbaik,” katanya.

Pemenang Anugerah Guru Global akan menerima pembayaran hadiah US$1 juta secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More