Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Covid-19 Varian Terbaru Masuk Ke Dalam Malaysia

Varian Terbaru Covid-19 Dikenal Pasti

covid

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan kewujudan varian baharu di negara ini iaitu South African B.1.351 menerusi empat kes penularan tempatan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata varian South African B.1.351 itu pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember 2020 di dua negara iaitu United Kingdom dan Afrika Selatan.

Katanya, di Malaysia varian itu mula dikenal pasti pada Mac lalu dan ia mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

“Dua kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang membabitkan pekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes berkenaan sukar untuk dikenal pasti dan disahkan. Selain itu satu kes dikesan dalam Kluster Kebun Baru serta satu kes lagi adalah ahli keluarga kepada kes positif COVID-19 yang tinggal serumah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan penemuan varian berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menjalankan lebih banyak ujian jujukan genom menggunakan sampel kes positif COVID-19 di daerah Kuala Langat dan Sepang.

“Hasil dari ujian yang dijalankan menunjukkan terdapat lima kes lagi dikesan dari lokaliti itu yang sudah dijangkiti dengan varian berkenaan iaitu empat kes dalam Kluster Kebun Baru serta satu lagi dalam Kluster Jalan Lima.

“Secara keseluruhannya, sembilan kes positif COVID-19 yang mempunyai varian berkenaan. Sehingga kini, analisis filogenetik serta hubung kait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes berkenaan adalah daripada punca jangkitan yang sama,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebelum varian itu dikesan, pihak IMR dan Institut Kesihatan Negara (NIH) melakukan analisis terhadap lebih daripada 261 turutan jujukan genom penuh virus SARS-CoV-2 (COVID-19) dari sampel klinikal.

“Ia merangkumi kes-kes COVID-19 di Malaysia daripada gelombang pertama sehingga gelombang ketiga. Analisis ini memberi fokus kepada pemantauan terhadap semua jenis mutasi gen terutama pada anjakan protein yang memainkan peranan penting dalam proses pengecaman reseptor dan proses membran sel (receptor recognition and cell membrane fusion process).

“Strategi survelan genomik ini turut membabitkan sampel yang disahkan positif sepanjang Januari hingga Mac ini daripada kluster tempatan di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Sampel lain ialah kes positif dengan sejarah perjalanan ke negara lain dan kes kematian disebabkan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai varian B.1.351, Dr Noor Hisham berkata, ia didapati mempunyai pelbagai mutasi ‘spike protein’ termasuk L18F, D80A, D614G, D215G, A701V, K417N, E484K, N501Y dan L241_A243del.

“Bagaimanapun, varian ini tidak mempunyai mutasi H69_V70del seperti yang terdapat pada varian UK B.1.1.7.

“Analisis jujukan genom juga menunjukkan kebarangkalian asal-usul jangkitan daripada kes positif COVID-19 membabitkan pekerja di salah sebuah syarikat berpengkalan di KLIA berdekatan dengan kawasan Sepang diikuti penularan jangkitan ke kawasan penduduk tempatan di daerah Kuala Langat.

“Berikutan itu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat dan PKD Sepang serta pihak IMR akan terus melakukan turutan jujukan genom penuh virus dari sampel klinikal untuk memantau kehadiran varian ini serta varian lain.

“KKM akan terus berwaspada dan melaksanakan pelbagai langkah kesihatan awam untuk mencegah berlakunya limpahan varian baharu ke Malaysia. Sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada umum,” katanya.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Biasiswa Yayasan DayaDiri

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More