Sumber Rujukan Globalisasi Anda

DR NOOR HISHAM ANTARA TIGA DOKTOR TERBAIK-SALURAN TV CHINA

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diletakkan dalam senarai tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak COVID-19 di negara ini.

Pengiktirafan itu diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network yang turut menyenaraikan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.

DR NOOR HISHAM ANTARA TIGA DOKTOR TERBAIK-SALURAN TV CHINA 1

Pengiktirafan Dr Noor Hisham

 
Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham

Ketiga-tiga doktor itu memimpin usaha Kerajaan masing-masing dalam menguruskan pelbagai isu berkaitan wabak COVID-19 termasuk pengendalian pesakit positif COVID-19 dan memberi nasihat kepada Kerajaan cara terbaik bagi mengawal penularan wabak berkenaan.

Pemilihan ketiga-tiga doktor berkenaan bukan sahaja berikutan kewibawaan mereka dalam membantu Kerajaan memerangi wabak COVID-19, tetapi juga penampilan mereka yang penuh berkeyakinan, tenang dan jelas ketika memberi maklumat mengenai keadaan semasa wabak itu di negara masing-masing.

Mereka juga kini dianggap wajah negara masing-masing, malah ada warga siber yang menggelar mereka sebagai hero negara, wira negara dan wajah pujaan hati.

Menurut CGTN, pemilihan itu berikutan ketiga-tiga doktor berkenaan yang bukan menteri Kabinet, namun menjadi wajah negara masing-masing dalam memerangi wabak COVID-19.

“Ketika wabak global yang tidak pernah dialami sebelum ini, ketika kerajaan di serata dunia kadangkala lambat bertindak atau memperkenalkan langkah yang mengelirukan serta menghantar mesej bercelaru, Dr Fauci, Dr Bloomfield dan Dr Hisham menjadi suara yang bermakna, menenangkan dan meyakinkan,” lapor CGTN.

Sejak beberapa minggu lalu, Dr Noor Hisham, 57,  menjadi bualan hangat di Malaysia apabila kebanyakan media tempatan menghasilkan artikel khusus mengenai personaliti beliau yang ketika ini dikatakan individu paling popular di Malaysia.

Penampilan beliau di kaca televisyen bukan sahaja ditunggu setiap jam 5 petang, malah laman sosialnya sentiasa dinantikan berikutan sering dikemas kini sehingga ada kalanya lewat dinihari.

BH melaporkan, Dr Fauci yang berusia 79 tahun pula bekerja hampir 16 hingga 18 jam sehari sejak beberapa minggu lalu sehingga orang ramai mula bimbang apabila beliau tidak kelihatan ketika sidang media harian di Rumah Putih.

Warga siber di AS dikatakan memulakan petisyen a Change.org  bagi mencalonkan Dr Fauci yang diberi gelaran coronavirus crush dan national treasure oleh The Atlantic dan The New York Times, sebagai People Magazine’s Sexiest Man Alive 2020.

Di New Zealand pula, warga siber mewujudkan laman peminat Dr Bloomfield yang menyediakan ruang bagi warga siber memuji doktor berkenaan.

Selain itu, rakyat New Zealand kini turut mencadangkan Dr Bloomfield dinamakan Tokoh Negara berikutan ketelitian dan maklum balas yang jelas disampaikan doktor berkenaan ketika sidang media.

Sementara itu, Menteri Kesihatan,  Datuk Seri Dr Adham Baba, yang memuat naik berita berkenaan dalam laman Instagramnya turut mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham.

“Selama lebih kurang sebulan lebih berada di KKM (Kementerian Kesihatan) saya dapat saksikan bahawa Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merupakan insan yang amat berwibawa, komited serta sentiasa menjunjung amanah yang diberikan,” tulisnya.

Rakyat Malaysia pasti merasa bangga atas peniktirafan ini. Semoga tindakan yang  dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu covid-19 ini akan berjaya. Kita semua pasti menang!

SUMBER : AWANI, BH ONLINE

DR NOOR HISHAM ANTARA TIGA DOKTOR TERBAIK-SALURAN TV CHINA 2

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More