Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Guru Pembimbing Pelajar

Guru Mampu Bimbing Lebih Baik Disekolah

Sekolah adalah kawasan yang selamat dan sesuai untuk pelajar menimba ilmu selain dapat menumpukan perhatian kepada setiap mata pelajaran yang diajar guru.

Sebaliknya, jika sekolah ditutup, dibimbangi hanya akan merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran antara guru dan pelajar malah kerja tugasan atau kerja kursus pelajar tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Guru

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia, Bandar Tun Razak, Sapura Amat berkata, beliau memberi jaminan pihak sekolah terutama guru akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain memantau setiap kegiatan pelajar ketika berada di sekolah.

“Selepas Hari Raya Aidilfitri, ujian lisan, kerja kursus, amali sains akan bermula. Saya bimbang pelajar tidak mampu kuasai sepenuhnya. Jika pelajar terus dibiarkan belajar di luar sekolah atau hanya di rumah, saya juga risau mereka akan ketinggalan pelajaran kerana tidak semua mempunyai akses pendidikan yang sama.

“Pihak sekolah dan guru akan sentiasa bekerjasama, manakala ibu bapa juga sentiasa diingatkan jika anak-anak tidak sihat, jangan hadir ke sekolah. Jadi, bila ada gabungan semua pihak, tiada alasan untuk kita khuatir menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi guru bahasa Inggeris, Victoria Francis, 40, sebagai pendidik, tiada kepuasan dalam sesi pengajaran selagi ia tidak dijalankan secara bersemuka kerana pelajar belum bersedia ke arah itu (PdPR).

“Cuba bayangkan macam mana saya mahu membantu mereka untuk menulis, mendengar dan bercakap bahasa Inggeris, walhal mereka tidak selesa belajar dalam talian. Kalau di sekolah, kita boleh bantu mereka, tetapi di rumah terlalu banyak gangguan,” katanya.

Senada dengan Victoria, guru mata pelajaran Sains Rumah Tangga, Masayu Mohamed Yunus, 48, pula berpendapat, pelajar Tingkatan 4 dan 5 perlu menyiapkan kerja kursus wajib melibatkan jahitan dan amali masakan yang membawa 30 markah dalam peperiksaan SPM.

“Tugasan praktikal seperti ini perlu tunjukkan demonstrasi, kalau tidak pelajar tidak faham. Sebab itu saya lebih gemar mengajar secara bersemuka selain pelajar fokus dalam setiap tugasan mereka,” katanya.

Guru mata pelajaran Prinsip Perakaunan, Hamizah Abas, 41, pula berkata, dia berpuas hati jika terus mengajar di sekolah meski pun terpaksa mengulang semula topik mata pelajaran yang sudah diajar.

“Apabila saya mengajar secara PdPR, keberhasilannya hanya merekodkan kurang 30 peratus berbanding pembelajaran di sekolah sebanyak 80 peratus.

“Cuma, jika tutup sekolah, saya mencadangkan sistem penggiliran diwujudkan untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 4 manakala Tingkatan 5 pula ke sekolah seperti biasa agar risiko jangkitan rendah,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Proton Besarkan Kilang Pengeluaran Di Tanjung Malim

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More