Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Hak asasi dengan agama tidak boleh dicampur aduk

Hak Asasi Manusia Berbeza Dengan Hak Agama

agama

PETALING JAYA – Jangan biarkan pengamalan agama diacu atau ditapis oleh hak asasi manusia kerana ia berisiko menjadi barah yang akan menjejaskan perpaduan antara kaum di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sejak ke belakangan ini, hak asasi manusia dilihat sebagai seolah-oleh satu agama di negara ini yang mana pengamalan agama itu sendiri diacu atau ditapis olehnya.

“Sekiranya ia dibiarkan, lama kelamaan ia akan menjadi satu barah dalam kehidupan kita yang berbilang kaum dan ia akan memecah belahkan perpaduan di antara kita.

“Saya ingatkan di sini bahawa kita perlu akur kepada Perlembagaan Persekutuan, dokumen-dokumen yang telah dipersetujui dan disepakati dari awal perlu dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam program Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk ‘Syariat Didaulat: Perpaduan Diangkat’ yang disiarkan secara langsung melalui TV1 di Hotel Hatten, Melaka malam tadi.

Jelasnya, jika dilihat kepada Perlembahaan Persekutuan, ia tidak menyebut tentang hak asasi manusia, sebaliknya apa yang disebut dalam perlembagaan itu adalah tentang kebebasan asasi.

“Bukan hak asasi, perlu diingat bahawa kebebasan asasi dan hak asasi adalah dua perkara yang sangat berbeza.

“Kebebasan asasi jelas dinyatakan di dalam perlembagaan tentang bagaimana kebebasan tentang kesamarataan. Kesamarataan dalam perlembagaan bukan semua orang sama kerana terdapat perkara yang perlu di titik beratkan yang akan membawa kepada sedikit perbezaan antara golongan tertentu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berkenaan hak asasi pula, ia sebenarnya bercanggah dari sudut beragama, adat ketimuran dan undang-undang kerana setiap kebebasan asasi ada had dan batasan.

“Ia bukan bersifat kebebasan mutlak yang langsung tidak mengambil kira kepentingan umum. Contohnya, terpulang kepada saya nak buat apa sahaja.

“Namun begitu, kita jarang sangat bercakap tentang hak umum berkenaan tanggungjawab kita untuk mengekalkan perpaduan dan bagaimana mahu mengekalkannya,” ujarnya.

Tegasnya, hak umum ini perlu diambil kira bagi memelihara perpaduan antara kaum di negara ini dan hak umum ini sepatutnya lebih mengatasi hak individu itu sendiri.

Sumber Kosmo Online

Artikel lain: Pendapatan Petani Meningkat

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More