Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Hari Hol Pahang 2024: Tarikh Cuti Umum Negeri Pahang

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai Hari Hol Pahang 2024 yang akan diadakan pada 22 Mei tidak lama lagi.

Pasti masih ramai diantara kita yang tidak mengetahui pengertian sebenar Hari Hol dan tertanya-tanya mengapa negeri Pahang akan bercuti pada 22 Mei setiap tahun, bukan?

Isi Kandungan

Apa Itu Hari Hol?

Kamus Dewan telah mendefinisikan bahawa Hol bermaksud kenduri arwah yang diadakan setahun sekali.

Dalam konteks ini, Hari Hol di Pahang merupakan hari memperingati kemangkatan keluarga diraja di negeri tersebut.

Hari Hol diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula tahun 1974 bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, iaitu Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad Shah pada tanggal 7 Mei 1974.

Baginda mangkat di Istana Peninjau, Pekan pada usia 70 tahun setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun.

Sejarah Ringkas Mengenai Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah

Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah telah diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi’ul Awal Tahun 1322 Hijrah.

Hari Hol Pahang 2024: Tarikh Cuti Umum Negeri Pahang 1
Al-Marhum Sultan Abu Bakar

Baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum bt Abdullah.

Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata.

Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu.

Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang.

Di zaman pemerintahan Baginda, bermulalah mercu tanda pembangunan negeri Pahang moden, di mana perubahan dari segi politik dan sosial berlaku dengan cukup pesat walaupun dengan kemaraan Tentera Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.

Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan Baginda sejurus selepas Kemerdekaan Tanah Melayu.

Semasa pemerintahan Baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan.

Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di negeri Pahang, Baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Di antaranya pada Mac 1950, Baginda telah

  • menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang,
  • menghidupkan kembali jawatan Mufti Kerajaan kepada jawatan Kadi Besar, serta
  • mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.

Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah negeri Pahang moden.

Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan.

Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat.

Selepas kemangkatan Baginda Sultan Abu Bakar, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah pula merupakan Sultan Pahang Moden kelima dari 8 Mei 1974 sehinggalah baginda turun takhta pada 11 Januari 2019.

Baginda merupakan paduka anakanda ketiga dan paduka putera tunggal kepada KDYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah dengan KDYMM Tengku Ampuan Besar Raja Fatimah.

Setelah itu, baginda dikurniakan gelaran Paduka Ayahanda. Baginda juga merupakan Yang di-Pertuan Agong yang ketujuh, memerintah Malaysia dari 26 April 1979 sehingga 25 April 1984.

Baginda mangkat pada 22 Mei 2019 dan sebab itulah kini Hari Hol Pahang akan disambut pada setiap 22 Mei setiap tahun pula.

Hari Hol Pahang 2024: Tarikh Cuti Umum Negeri Pahang 2
Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Hari Hol Pahang 2024

Hari Hol Pahang 2024 adalah jatuh pada hari Rabu, bersamaan 22 Mei 2024 dan ia merupakan Hari Kelepasan Am Negeri atau cuti umum bagi negeri Pahang sempena memperingati kemangkatan Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Rakyat Pahang yang berbangga dengan sejarah kesultanan negeri itu akan meluangkan masa menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin bagi memperingati Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Hari Hol Pahang 2024: Tarikh Cuti Umum Negeri Pahang 3
Hari Hol Pahang 2024

Pada tahun ini, Hari Hol Pahang 2024 disambut serentak dan berkongsi tarikh dengan Hari Wesak 2024, iaitu pada 22 Mei 2024.

Semoga perkongsian tentang Hari Hol Pahang 2024 di atas bermanfaat untuk anda semua rakyat Malaysia di luar sana.

Selamat Hari Hol Pahang 2024 dan Selamat Bercuti kepada semua rakyat negeri Pahang Darul Makmur!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More