Sumber Rujukan Globalisasi Anda

i-Ceria KWSP: Tiada Lagi Pengeluaran Dibenarkan

i-Ceria KWSP adalah satu cadangan yang diusulkan di Parlimen bagi membenarkan pengeluaran daripada akaun KWSP rakyat Malaysia bagi membantu rakyat dari segi kewangan dalam keadaan sekarang ini.

Isi Kandungan

i-Ceria KWSP

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif, telah membentangkan cadangan untuk kerajaan memperkenalkan skim bantuan i-Ceria KWSP, iaitu kemudahan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali terakhir. Cadangan ini telah dibuat ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini. Menurut beliau, wujudnya keperluan mendesak buat segelintir rakyat Malaysia untuk menggunakan wang persaraan mereka bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan sekarang.

Menurutnya lagi, cadangan ini adalah bagi memastikan tuntutan keluarga Malaysia dapat dipenuhi, terutamanya bagi golongan yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19, dan juga bencana banjir yang telah dan sedang melanda. Dengan keadaan yang sebegini, tiba masanya untuk kerajaan mengkaji semula permintaan rakyat yang ingin membuat pengeluaran KWSP buat kali terakhir dan secara bersasar bagi mereka yang memerlukan, dan bergantung kepada jumlah simpanan mereka. Kerajaan dalam pada itu, telahpun membenarkan pengeluaran wang KWSP sejak akhir tahun 2020 hingga kini melalui beberapa siri inisiatif iaitu i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.

Tiada Lagi Pengeluaran KWSP Sebelum Bersara

Walaupun ramai yang mengharapkan cadangan i-Ceria KWSP akan dapat direalisasikan, namun begitu setakat ini KWSP telah bertegas bahawa tiada cadangan untuk sebarang pengeluaran lagi selepas tiga skim yang telah dilaksanakan. Tiga jenis skim ini telah dijelaskan sebelum ini, iaitu i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari. Ketiga-tiga skim ini telah dilaksanakan tepat pada masanya bagi membantu pencarum KWSP dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Mandat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melalui beberapa portal akhbar telah menegaskan perkara ini setelah cadangan i-Ceria KWSP dibuat di Dewan Rakyat. Menurut beliau, tumpuan KWSP buat masa ini adalah untuk membina semula simpanan hari tua ahli-ahli KWSP. Ini sejajar dengan mandat pengurus dana persaraan KWSP iaitu melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa hadapan persaraan mereka. Mandat ini telah diberi mengikut Akta KWSP 1991 dengan tujuan membantu ahli mencapai simpanan hari tua yang cukup, menurut Datuk Seri Amir Hamzah lagi.

Tambah beliau lagi, negara sudah mula memasuki fasa pemulihan dengan perangkaan pekerjaan dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan perkembangan positif bahawa negara sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19. Beliau berharap rakyat tidak perlu lagi mengeluarkan simpanan KWSP, dan KWSP boleh teruskan mandat untuk membina simpanan hari tua ahli-ahli.

Beliau memberi maklum balas apabila diminta mengulas sama ada KWSP akan mempertimbangkan cadangan membenarkan pengeluaran selanjutnya bagi membantu ahli yang terkesan impak pandemik (cadangan i-Ceria KWSP yang telah diusulkan di Dewan Rakyat). Beliau dalam pada itu mengumumkan prestasi KWSP dan juga kadar dividen bagi tahun 2021.

Sokongan KWSP: 3 Skim Terdahulu

Datuk Seri Amir Hamzah turut mengulas lanjut bahawa KWSP memberi sokongan penuh buat ahli-ahli dalam menghadapi cabaran di zaman pandemik COVID-19. Sebanyak RM110 bilion telahpun dikeluarkan oleh lebih kurang 7.3 juta ahli di bawah tiga skim pengeluaran: i-Sinar, i-Citra, dan i-Lestari. Menurut beliau, kesemua ahli telah membuat pengeluaran melalui permohonan sekurang-kurangnya satu, atau semua skim tersebut.

Sebanyak RM20.8 bilion daripada jumlah terbabit melibatkan pengeluaran menerusi i-Lestari yang telah dijalankan dari April 2020 sehingga Mac 2021. Skim i-Sinar pula yang telah berlangsung dari bulan Januari 2021 sehingga Disember 2021 telah membabitkan pengeluaran sebanyak RM58.7 bilion. Manakala i-Citra telah membabitkan pengeluaran sebanyak RM21.4 bilion, telah dilaksanakan dari Julai 2021 sehingga Februari 2022.

KWSP menyifatkan ketiga-tiga skim pengeluaran ini sebagai luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan bagi memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi ekoran pandemik COVID-19. Ketiga-tiga skim ini telah dilaksanakan tepat pada masanya bagi membantu ahli-ahli KWSP dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 namun kini ia telah pun berakhir (kemudahan pengeluaran terakhir adalah i-Citra pada bulan lepas).

Kebimbangan Masa Hadapan Pesara

Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, pengeluaran awal simpanan KWSP adalah membimbangkan kerana ahli berisiko untuk hidup dalam kemiskinan sewaktu persaraan mereka, di mana mereka tiada simpanan cukup untuk bekalan perbelanjaan bagi menjalani kehidupan seharian.

Menurut beliau lagi, Malaysia adalah merupakan negara yang bakal mempunyai jumlah warga tua yang ramai. Ini membuatkan satu kepentingan buat semua rakyat untuk bersedia dengan sekuriti simpanan bagi penggunaan selepas persaraan, mahupun apabila tidak lagi bekerja bagi menjana pendapatan. Tegas beliau lagi, keupayaan kewangan bagi golongan berumur amat perlu untuk dijamin , selain kesihatan masyarakat itu sendiri. Ini bagi memastikan rakyat Malaysia dalam keadaan aman sejahtera, tidak kira lapisan umur masyarakat itu sendiri.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More