Sumber Rujukan Globalisasi Anda

iProperty Cadang Perkenal Insentif Sewa Rumah

PETALING JAYA: Laman hartanah terkenal, iProperty.com.my mencadangkan pihak kerajaan untuk memperkenalkan insentif menyewa rumah yang akan memanfaatkan penyewa dan tuan rumah sepanjang pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurut syarikat itu, ketidaktentuan yang timbul ketika pandemik itu menyebabkan orang ramai lebih cenderung menyewa berbanding membeli rumah.

Pengurus Besar iProperty.com.my, Shylendra Nathan berkata, oleh kerana semakin ramai orang bekerja dari rumah, keperluan untuk mempunyai persekitaran yang selesa dan kondusif menjadi penting berbanding sebelum ini.

“Menyewa memberi peluang kepada pelanggan menjimatkan kos untuk jangka pendek. Bagi mendorong trend itu, kerajaan boleh memperkenalkan insentif buat penyewa pertama dan penyewa berpengalaman.

Bagi membantu tuan rumah pula, kerajaan boleh memberi pelepasan cukai pendapatan kepada mereka kerana telah memberikan potongan sewa kepada penyewa. Kami yakin inisiatif itu akan membantu penyewa dan tuan rumah dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga berharap kerajaan dan institusi kewangan akan melanjutkan pinjaman moratorium merangkumi semua kumpulan berpendapatan sama seperti moratorium pinjaman automatik yang diperkenalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lalu.

Ujarnya, moratorium harus fokus untuk membantu pengguna yang menghadapi masalah kewangan sejak awal tahun.

Tambahnya, sekiranya mereka tidak dibantu, ia akan menyebabkan bank mendaftar lebih banyak pinjaman tidak berbayar yang akan mempengaruhi keuntungan keseluruhannya.

“Kami juga berharap kerajaan boleh memberikan cukai pelepasan pendapatan untuk faedah pinjaman rumah bagi membantu rakyat Malaysia yang membuat pinjaman perumahan. 

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan pinjaman perumahan, insentif seperti membenarkan mereka menyimpan wang melalui rebat cukai patut disediakan,” jelas Shylendra.

Katanya, dengan kempen pemilikan rumah (HOC) yang telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, jika digabungkan dengan polisi penjimatan kos itu ia pasti akan memacu pasaran hartanah.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Permohonan Insentif Pemandu Pelancong dan Agensi Pelancongan Johor

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More