Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Jakim batalkan UPKK bagi subjek bertulis tahun ini

Semenjak penularan wabak covid-19,pelbagai langkah keselamatan dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin. Kelmarin KPM telah membatalkan peperiksaan UPSR dan PT3, hari ini JAKIM pula telah mengambil tindakan yang sama dengan membatalkan UPKK bagi subjek bertulis untuk tahun ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat ketetapan membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadualkan akan diadakan pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ketetapan itu adalah selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) yang membatalkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini bagi menjamin keselamatan murid-murid disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, keputusan itu juga tidak akan menjejaskan tahap penguasaan murid terhadap subjek Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di peringkat rendah dengan aspek kemenjadian murid boleh dinilai menerusi beberapa kaedah lain.

UPKK di Batalkan

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan Kafa bermula Tahun 1 hingga 6 di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan Kafa boleh dinilai dengan berbagai kaedah.

“Justeru, bagi tujuan ini, Jakim akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut,”katanya sewaktu menyampaikan perutusan khas secara siaran langsung menerusi laman sosial Facebooknya, tengahari tadi.

Dr Zulkifli berkata, Jakim turut membuat keputusan bahawa pembukaan sesi persekolahan Kafa di seluruh negara juga akan dibuat mengikut ketetapan KPM.

 

Terdahulu, kerajaan menyarankan semua Majlis Agama Negeri membatalkan Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementeriannya telah berbincang dengan kesemua Majlis Agama Negeri mengenai pembatalan peperiksaan itu, mengambil kira keselamatan murid.

sumber : sinar harian

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More