Sumber Rujukan Globalisasi Anda

JPN kesan 200 rekod pendaftaran kelahiran palsu

JPN Syaki Sindiket Tawar Anak Angkat Kepada Pasangan Tiada Anak

jpn

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan 200 rekod pendaftaran kelahiran palsu susulan penahanan dua lelaki termasuk seorang doktor, semalam.

JPN percaya pihaknya dapat menyelesaikan aktiviti sindiket pemalsuan maklumat kelahiran yang dijejaki jabatan itu sejak tahun 2009 berikutan terbongkarnya sindiket berkenaan.

Sindiket dikatakan membuat pengesahan palsu maklumat kelahiran dalam Borang Pendaftaran Kelahiran JPN.LM01.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan mendapati, kebanyakan rekod kelahiran palsu itu dibuat di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya mendapati, sindiket menawarkan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai anak dan kemudian didaftarkan sebagai anak kandung.

“Sindiket ini mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM20,000 bagi setiap urusan pendaftaran palsu kelahiran.

“Doktor yang ditahan itu didapati memasukkan maklumat kanak-kanak serta maklumat pasangan seolah-olah anak tersebut dilahirkan isteri pasangan tersebut.

“Kemudian, ejen bersama-sama pasangan tersebut akan menguruskan pendaftaran kanak-kanak itu di JPN dan kebanyakan bayi yang didaftarkan ini tidak diketahui siapa ibu kandung mereka,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ruslin berkata, sejak 2009 lagi, pihaknya sudah mengesan sindiket berkenaan malah, sudah meminta ibu bapa anak-anak yang didaftarkan itu tampil memberi kerjasama dan maklumat.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa berkenaan gagal tampil menyebabkan JPN terpaksa menyenarai hitamkan rekod kelahiran kanak-kanak berkenaan.

“Kami akhirnya berjaya mengesan kembali ibu bapa dan kanak-kanak itu selepas mereka tampil untuk mendaftarkan diri di JPN bagi mendapatkan MyKad pada usia 12 tahun.

“Lanjutan itu, seorang doktor dan ejen ditahan masing-masing di Putrajaya dan Melaka bagi membantu siasatan.

“Kami percaya akan dapat mengesan banyak lagi kes pemalsuan rekod kelahiran ini dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, kesemua kanak-kanak berkenaan yang kini berusia antara 12 hingga 16 tahun itu akan ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum proses pendaftaran anak angkat dilakukan mengikut undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, beliau menyeru semua ibu bapa yang terbabit dalam aktiviti ini supaya hadir memberi maklumat dan kerjasama bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Sekiranya mereka gagal tampil, kami akan mengesan dan menjejaki mereka.

“Kami akan bertindak membetulkan semua maklumat kelahiran kanak-kanak berkenaan sebelum proses pengangkatan dilakukan oleh ibu bapa berkenaan,” katanya.

Katanya, beliau mengingatkan pasangan yang tidak mempunyai anak supaya mengikut saluran dan cara yang sah bagi mendapatkan anak angkat.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Khas Ramadhan | Hukum Suntik Insulin Bagi Pesakit Diabetes Kronik di Bulan Ramadhan

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More