Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kebenaran solat sunat Aidilfitri akan dimaklumkan

benar

Kebenaran untuk mengadakan solat sunat Aidilfitri di Wilayah Persekutuan akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan manakala pengumuman di peringkat kebangsaan dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jawi telah mengangkat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka mengenai kebenaran menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau-surau solat Jumaat.

“Sebaik sahaja mendapat perkenan, Jawi akan mengadakan sidang akhbar rasmi,” katanya selepas majlis Program Kembara Al-Amin Nuzul Al-Quran bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Surau Putra Al-Amin di sini hari ini.

Sementara itu beliau memaklumkan, sebanyak RM9.23 juta diperuntukkan Jawi bagi pelaksanaan program mengimarahkan masjid-masjid dan surau sempena Ramadan di Wilayah Persekutuan merangkumi 89 masjid, 123 surau solat Jumaat dan 578 surau lain.

Katanya, walaupun berdepan pandemik Covid-19 ketika ini, ia bukanlah penghalang buat umat Islam dan masyarakat setempat mendapat manfaat sempena Ramadan.

“Bagi setiap masjid, Jawi memperuntukkan RM15,000, surau solat Jumaat (RM12,500) dan surau pula sebanyak RM11,000,” katanya.

Mengenai program Kembara Al-Amin Nuzul al-Quran, Mohd. Ajib berkata, ia bermula seawal pukul 4 pagi dengan menyantuni petugas barisan hadapan di Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara dan anggota polis di sekatan jalan raya menerusi sumbangan juadah sahur.

Beliau berkata, program diakhiri dengan ceramah forum perdana dan penyerahan sumbangan Ihya Ramadan kepada masjid dan surau-surau di Putrajaya.

Menurutnya, peruntukan itu juga boleh digunakan bagi program kecil sepanjang tahun dan bukan tertakluk pada Ramadan sahaja.

“Di Putrajaya sahaja, RM1.3 juta diperuntukkan kepada masjid dan surau bagi program-program mengimarahkan Ramadan tahun ini membabitkan sebuah masjid, 20 surau solat Jumaat dan 92 surau di bawah kendalian Jawi,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Pelajar IPT dibenarkan balik kampung sambut Aidilfitri

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More