Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kebolehjangkitan COVID-19 kembali meningkat

Peningkatan kes baharu COVID-19 yang mencecah lebih 4,000 semalam, menyaksikan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) wabak itu di negara ini, meningkat kepada 1.10 semalam berbanding 1.07 kelmarin.

Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) wabak COVID-19 di negara ini, meningkat kepada 1.10 semalam berbanding 1.07 kelmarin.-Foto FB Dr Noor Hisham

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, menunjukkan lonjakan kes baharu di beberapa negeri juga menyaksikan sembilan negeri mencatat R0 melebihi purata kebangsaan antara 1.17 hingga 1.35 semalam.

Terengganu mencatat R0 tertinggi dengan 1.35 disusuli Kedah (1.28), Perak (1.25), Pulau Pinang (1.23), Selangor (1.18), Negeri Sembilan (1.18), Pahang (1.18), Melaka (1.17) dan Johor (1.17).

Selain itu, Kuala Lumpur mencatat R0 sama dengan purata kebangsaan iaitu 1.10, manakala dua negeri mencatat R0 terendah semalam iaitu Kelantan (0.99) dan Sabah (0.94).

Nilai R0 merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai R0 adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Data dikongsi Dr Noor Hisham turut menunjukkan trend peningkatan kes kekal berada pada tahap membimbangkan, apabila melebihi unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) yang meramalkan kes harian berisiko mencecah 5,000 awal bulan depan, khususnya jika R0 meningkat kepada 1.2.

Bagaimanapun, trend lonjakan kes baharu COVID-19 ketika ini yang menghampiri 4,500 semalam, menunjukkan jumlah kes harian berisiko mencecah 5,000 lebih awal daripada unjuran KKM.

Kes harian COVID-19 kembali mencatat peningkatan sejak awal bulan lalu hingga mencecah lebih 2,000 pada pertengahan April, dan terus melonjak kepada lebih 3,000 kes pada 28 April lalu.

Semalam, adalah pertama kali kes harian COVID-19 kembali mencecah 4,000 kes dalam tempoh lebih 90 hari sejak kali terakhir mencatat 4,571 kes pada 4 Februari lalu.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: SOP PKP 3.0 Di Selangor 6 Mei Sehingga 17 Mei

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More