Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kereta Kini Barang Keperluan Bukan Lagi Kemahuan

kereta

Rakyat Malaysia mengambil kesempatan membeli kenderaan baharu susulan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kenderaan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Penasihat Pemasaran Perodua, Mohd Zafrul Mazlan berkata, peningkatan tersebut berlaku sejak tahun lalu dan berterusan sehingga tahun ini berdasarkan kepada situasi semasa.

“Ia juga disebabkan kereta sudah menjadi barang keperluan bagi masyarakat kerana kebanyakan pelanggan saya mereka lebih suka ada kereta sendiri daripada pinjam atau sewa dengan orang lain.

“Kebanyakan dari mereka guna kereta untuk tujuan kerja, perniagaan dan kecemasan untuk menghantar keluarga ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zafrul berkata, sepanjang menjadi penasihat selama 10 tahun, trend pembelian tersebut tidak tertumpu kepada orang muda atau orang tua.

“Ia disebabkan kebanyakan pembeli pertama dan pembeli berulang (repeat buyer).

“Kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta padat (compact car) menjadi pilihan pembeli,” ujarnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan prestasi jualan kenderaan di dalam negara merekodkan peningkatan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini selepas kerajaan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan kenderaan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Mac 2021 adalah 31 peratus lebih tinggi bagi tempoh yang sama untuk tahun lalu.

Dalam pada itu, penasihat pemasaran kenderaan, Amilshah Mohamed Akesah turut bersetuju bahawa pengecualian cukai yang diumumkan oleh kerajaan sehingga bulan Jun menyebabkan ramai rakyat membuat pembelian kereta.

Amilshah berkata, produk keluaran terbaharu turut menjadi faktor peningkatan peratusan pembelian kenderaan dalam negara.

“Yang datang ke bilik pameran sangat ramai sama seperti sebelum berlakunya pandemik Covid-19.

“Tarikan ini disebabkan keluar model baharu teknologi paling terkini bagi model kenderaan,” katanya.

Sumber Sinar Harian

Artikel lain : 6 Trek Go Kart Di Selangor dan KL

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More