Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Terkini: Mangsa Lemas Karbon Monoksida Yang Keempat Mulai Sedar

Mangsa lemas karbon monoksida yang keempat, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21 sudah mulai sedar dari koma malam ini. Beliau merupakan mangsa terakhir yang terhidu gas beracun sewaktu pulang bercuti pada 17 September lepas juga adalah satu-satunya mangsa yang terselamat daripada tragedi yang menyayat hati itu.

Mangsa Lemas Karbon Monoksida
4 sekawan ini berhenti untuk tidur sebentar di RNR stesen minyak di Sama Gagah.

Mimpi ngeri yang meragut 3 nyawa rakannya itu pastinya amat memberi kesan yang mendalam dalam dirinya. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata pihaknya dimaklumkan alat bantuan pernafasan yang digunakan Nor Aqilah turut dicabut pasukan perubatan apabila pesakit berada dalam keadaan stabil. Beliau berkata mangsa juga dikatakan sudah mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya. 

“Alhamdullilah, polis menerima maklumat bahawa Nor Aqilah sudah sedar dari koma dan dia mengangguk kepala tanda mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya,” katanya ketika dihubungi hari ini. Dalam kejadian pada 17 September lepas, tiga daripada empat pelajar kolej yang sedang menunggu hari Konvokesyen maut selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida setelah tertidur di dalam kereta. Tiga mangsa yang maut ialah Sharifah Farisha Syed Fathi, Ayuni Shazwani Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan, masing-masing berusia 21 tahun.

Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak. Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 1.40 pagi itu, semua mereka ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan di stesen minyak berkenaan. Kesemua mangsa dipercayai singgah ke stesen minyak itu untuk berehat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.

Apa Yang Anda Perlu Tahu

✅ Keracunan Karbon Monoksia merupaka punca utama kematian akibat keracunan
✅ Gas beracun karbon monoksida terhasil dari pembakaran bahan bakar tanpa oksigen yang mencukupi.
✅ Gas ini TIDAK mempunyai sebarang warna dan bau, oleh itu ia di kenali sebagai “ Pembunuh Senyap”
✅ Sentiasa berwaspada dan jangan ambil mudah

Keracunan karbon monoksida adalah punca UTAMA kecederaan dan kematian akibat keracunan di seluruh dunia. Menurut Pusat Kawalan Penyakit US, 50,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap tahun, dan 430 mati akibat keracunan karbon monoksida.

Karbon monoksida terbentuk hasil daripada pembakaran bahan organik tanpa bekalan oksigen yang mencukupi. Ianya boleh di hasilkan dari pembakaran dieasel/petrol kenderaan, penggunaan gas untuk alat pemanas dan semasa memasak.

Bagaimanakan Karbon Monoksida Menyebabkan Kematian Semasa Mangsa Sedang Tidur Di Dalam Kenderaan?

Pembakaran bahan bakar di dalam engin kenderaan menghasilkan banyak gas sampingan yang dikeluarkan sebagai asap ekzos. Asap ekzos ini mengandungi gas yang merbahaya seperti karbon monoksida, hidrokarbon, dan nitrogen oksida.

Ketika memandu, sistem ekzos yang baik akan membebaskan gas gas beracun ini ke persekitaran dengan lancar dan selamat. Masalah timbul apabila sistem ini bocor dan lebih diburukkan lagi apabila kenderaan tidak bergerak.

Tanpa di sedari, gas yang tidak mempunyai bau dan rasa ini akan masuk menerusi saluran pernafasan dan memasuki saluran darah.

Gas beracun ini akan bercampur dengan hemoglobin (bahagian sel darah merah yang membawa oksigen ), lalu membentuk membentuk carboxyhaemoglobin. Apabila ini berlaku, darah tidak lagi mampu membawa oksigen, dan kekurangan oksigen menyebabkan sel dan tisu badan gagal dan mati.

Apakah gejala keracunan CO?

Gejala awal bagi keracunan gas karbon monoksida yang paling biasa adalah sakit kepala, pening, kelemahan, perut, sakit muntah, sakit dada, dan kekeliruan. Tetapi sekiranya gas ini di hidu semasa anda sedang tidur, anda tidak akan menyedari sebarang perubahan ini dan akhirnya menyebabkan kematian.

Tips Pencegahan Keracunan Karbon Monoksida

✅ Elakkan memanaskan enjin dengan asap ekzos dibebaskan di dalam kawasan rumah. Asap ekzos yang memenuhi ruang rumah mengandungi gas karbon monoksida dan boleh menyebabkan keracunan terutama kepada kanak kanak kecil.

✅ Jangan tidur ataupun sekadar berehat sebentar di dalam kenderaan dengan enjin terpasang. Anda mungkin terlena dan tidak bangun selamanya.

✅ Pastikan sistem ekzos anda di periksa dan di selenggara secara berkala. Ingat, kebocoran kecil boleh menyebabkan kematian.

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More