Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kaitan Harga Emas Jatuh Dan Vaksin Covid 19

Harga emas jatuh mendadak setelah berita pengumuman vaksin Covid-19 yang sememangnya memberi sedikit kelegaan kepada seluruh dunia dan juga rakyat di negara kita. Dan ia sangat memberi kesan pada harga emas yang kian hari menurun sejak kebelakangan ini.

Perunding Pelaburan Emas Syukor Hashim berkata, dari awal Januari sehingga Ogos tahun ini, berlaku trend kenaikan harga emas sebanyak 37 peratus dan pernah melebihi RM300 segram, namun harga itu jatuh semula dan terkini, RM256 segram.

“Apabila berita vaksin Covid-19 dijumpai tersebar, ia dilihat sedikit sebanyak mengurangkan risiko ancaman COVID-19 dengan pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat ekonomi dunia akan kembali pulih. Justeru, dalam situasi ini emas dilihat hilang tarikan sebagai aset selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Harga Emas Jatuh
Gambar sekadar hiasan

Isi Kandungan

Kedai Emas Jadi Tumpuan

Media sebelum ini melaporkan orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan sehingga ada antara mereka mengabaikan SOP Covid-19 semasa urusan jual beli di kedai.

Ditanya mengenai bila jangkaan penurunan harga emas ini akan berakhir, Syukor berkata, ia tidak boleh dijangka kerana ia dipengaruhi berita dari semasa ke semasa yang memberi kesan kepada naik turun harga emas.

“Punca harga emas naik itu disebabkan ancaman Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia dan orang ramai tidak berani berbelanja yang secara tidak langsung menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat.

Faktor Harga Emas Berubah

“Sebagai contoh, bagaimana proses peralihan kuasa Amerika Syarikat antara Joe Biden dengan Donald Trump, sekiranya ada ‘drama’ antara mereka harga emas boleh naik semula begitu juga implikasi berita politik mengenai Iran yang mendakwa saintis nuklearnya dibunuh oleh Israel.

“Dengan kata lain, harga emas naik bukan berpunca daripada Covid-19 sahaja tapi banyak faktor lain namun faktor utama tahun ini adalah wabak itu,” katanya sambil menambah apa sahaja situasi yang berlaku di Malaysia tidak mempengaruhi langsung perubahan harga emas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa kedai emas di sini, mendapati kunjungan orang ramai dilihat berkurangan pada hari biasa berbanding pada hujung minggu, namun masih ada yang mengambil peluang untuk membeli barang kemas yang diidamkan.

Masa Sesuai Untuk Melabur

Peniaga emas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat, Munirah Aqilah Mohd Zahari memberitahu penulis, pekerjanya tak menang tangan pada hujung minggu apabila kedainya diserbu orang ramai dan jumlah pelanggan dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Kejatuhan harga emas, menyebabkan pembeli mengambil kesempatan untuk menukar barang kemas lama dan ada juga yang mahu menempah yang baharu sebagai simpanan pelaburan dan aksesori untuk dipakai.

“Walaupun jumlah pembeli ramai, prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dalam kedai, nama dan suhu tetap direkod mengambil kira situasi jumlah kes yang masih tinggi di negara ini,” katanya.

Munirah Aqilah berkata, walaupun harga emas turun dan jumlah pembeli yang ramai, namun keuntungan yang diperoleh tidak seperti semasa harga emas tinggi pada awal tahun.

Seorang lagi peniaga, Nik Ahmad Tarmizi Nik Hassan berkata, pada awal pemberian moratarium dilaksanakan, ramai pembeli mengambil kesempatan dengan duit simpanan yang ada membeli barang kemas meskipun harga emas ketika itu mahal.

“Ramai pelanggan yang datang menggunakan duit yang sepatutnya mereka bayar untuk pinjaman kereta atau rumah untuk dibelanjakan untuk membeli barang kemas sebagai pelaburan jangka masa panjang,” katanya.

Kebaikan Menyimpan Emas

  1. Nilai yang tidak susut bahkan meningkat dari masa ke masa. Emas dikenali sebagai penyimpan nilai yang baik. Apabila duit kertas ditukar kepada emas ke dalam sejumlah gram. Sebagai contoh tukar wang kertas kepada 5 gram jongkong emas.Apa akan jadi dengan 5 gram tersebut selepas 10 tahun akan datang tentu ia masih kekal 5 gram.
  2. Cara terbaik untuk elak wang digunakan ke tempat yang tidak memberi manfaat. Bagi sesetengah susah nak menyimpan kerana mudah boros untuk berbelanja. Boleh jadikan emas sebagai simpanan dengan menukar wang kepada emas. Bila tukar ke dalam bentuk emas fizikal tidaklah mudah untuk berbelanja sebab perlu tukar emas fizikal kepada tunai. Bagi sesetengah orang adalah leceh secara tidak langsung lambat sikit duit habis terbelanja. Berbanding simpan didalam bank kerana kemudahan memindahkan duit diatas talian mudah untuk duit bertukar pindah milik.
  3. Emas diterima seluruh dunia. Sebut sahaja emas kepada siapa-siapa akan kenal emas itu berharga. Emas diterima seluruh dunia tidak seperti duit kertas perlu ditukar dahulu. Contohnya apabila kita nak pergi ke luar negara perlu tukar wang tersebut kepada matawang yang digunakan. Manakala emas boleh dibawa ke mana-mana negara tanpa perlu tukar apa-apa.
  4. Jumlah emas tidak berkurangan samada didalam tanah atau diatas tanah. Emas adalah kurniaan Allah SWT tidak akan berkurangan samada didalam tanah atau diatas tanah sehinggalah akhir zaman. Minyak mentah adalah pakai habis dan jumlah didalam bumi semakin berkurangan. Emas tidak boleh dicipta dan dimusnahkan.
  5. Emas kalis hiper inflasi. Beberapa negara seperti Zimbabwe dan Venezuela sudah mengalami krisis ekonomi yang teruk sehinggakan matawang negara mereka hilang nilai. Kadar inflasi negara Venezuela mencapai 800% tertinggi pada tahun 2016. Harga sedozen telur di Venzuela ayam terlalu mahal melonjak RM650 kesan dari inflasi tinggi menjadikan barang-barang keperluan naik harga kerana kuasa beli rakyat berkurangan. Kerajaan Venezuela menggantikan 100 Bolivar bernilai 2 sen terpaksa mengantikan not lebih besar.

Sumber: Bernama

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More