Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Negara Masih Dalam Gelombang Ketiga

Penularan Wabak COVID-19 Masih Lagi Berleluasa

covid

Penularan wabak COVID-19 masih lagi dalam gelombang ketiga, berikutan jumlah kes masih belum turun ke paras garis dasar (baseline).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan kepada data dan fakta yang ada di Kementerian Kesihatan (KKM), apabila kes terendah yang pernah dicatatkan dalam gelombang ketiga berada sekitar 900 kes.

Beliau berkata, berbeza dengan penularan gelombang kedua sebelum ini, apabila sifar kes tempatan dicatatkan untuk beberapa hari, bilangan kes harian ketika ini masih lagi empat angka, selain menunjukkan trend peningkatan.

“KKM mendapati sejak empat minggu kebelakangan ini kes harian tidak turun.

“Benar kita membuat unjuran jika kadar kebolehjangkitan pada paras 0.8, kes akan turun tetapi sejak dua tiga hari lalu, ia kembali meningkat dan mengikut kadar 1.2.

“Ini berhubung kait dengan kadar pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP). Gelombang keempat itu biasanya kita akan isytihar apabila sesuatu gelombang itu sudah mencecah ‘baseline’,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini bilangan kes harian masih belum sampai ke garis dasar, dan menganggap bilangan kes tinggi itu sebagai lonjakan dalam gelombang ketiga.

Katanya, KKM melihat aktiviti yang berjalan pada awal April apabila ada kelonggaran kepada ibu bapa menghantar anak ke asrama, majlis kenduri kahwin dan keramaian, mencetuskan jangkitan yang sedang dikesan serta direkodkan sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, ketika ini KKM bimbang apabila Ramadan bermula dan kelonggaran untuk penganjuran bazar diberikan, berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP seperti yang diadukan kepada pihaknya.

Untuk itu, Dr Adham berkata, penganjur bazar Ramadan patut memperketat SOP serta meminta anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah diturun kuasa daripada KKM, mengambil tindakan.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu bazar Ramadan dihentikan berikutan aktiviti ekonomi perlu terus berjalan, kecuali di kawasan yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti di beberapa daerah di Kelantan atau PKP Diperketat (PKPD).

“Penganjur perlu menyediakan semua keperluan untuk pematuhan kepada SOP.

“Kuasa kompaun juga sudah diberikan kepada PBT untuk mengambil tindakan selain polis, KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri daan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) dan Jabatan Imigresen.

“Kompaun ini bukan untuk menghukum, sebaliknya kita mahu memberitahu masyarakat untuk tindakan melakukan kesalahan,” katanya.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Permohonan Maybank Group Scholarship Programme

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More