PBU Akademik: Model Baharu Penajaan JPA Bermula 1 Jun 2025

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai model baharu penajaan JPA yang kini diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI, iaitu PBU Akademik.
Isi Kandungan
Model Baharu Penajaan JPA Berasaskan Merit Akademik Bagi LSP
Kerajaan MADANI memperkenalkan model baharu penajaan JPA yang dikenali sebagai Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) bagi menggantikan model lama, Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016 yang sebelum ini berdasarkan merit penempatan berkhidmat.
PBU Akademik adalah satu model penajaan baharu di bawah Program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP) JPA.
PBU Akademik akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2025 yang mana penajaan kepada pelajar akan lebih berfokus kepada kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah.
Langkah ini sejajar dengan prinsip Ihsan MADANI yang menekankan pemerkasaan pembangunan modal insan berteraskan kecemerlangan akademik dan sahsiah dalam kalangan warganegara Malaysia yang berkelayakan.

Struktur PBU Akademik
Melalui model baharu ini, pelajar tajaan JPA (kecuali bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi) akan mendapat pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik seperti berikut:
Kriteria | Peratus Bayaran Balik PBU Akademik |
---|---|
PNGK akhir 3.75 – 4.00 atau setara tanpa pelanjutan | 5% |
PNGK akhir 3.50 – 3.74 atau setara tanpa pelanjutan | 10% |
PNGK akhir 3.00 – 3.49 atau setara tanpa pelanjutan | 15% |
PNGK akhir 3.00 dan ke atas atau setara dengan pelanjutan | 20% |
PNGK akhir di bawah 3.00 atau setara atau gagal pengajian | 100% |
Dilantik dalam perkhidmatan awam (setaraf dengan kelayakan) | Dikecualikan bayaran balik atas baki nilai pinjaman |
Pengecualian Khas: Perubatan, Pergigian Dan Farmasi (PPF)
Pelajar dalam bidang PPF akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman sekiranya:
- Tamat pengajian dengan jayanya; dan
- Memenuhi ikatan kontrak untuk berkhidmat dengan Kerajaan.
Sekiranya pelajar tidak tamat pengajian atau gagal memenuhi ikatan kontrak, mereka perlu membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.
Pelaksanaan & Opsyen
PBU Akademik akan diguna pakai kepada semua pelajar tajaan baharu mulai 1 Jun 2025, kecuali penerima Dermasiswa.
Bagi pelajar sedia ada di bawah model PBU 2016, opsyen penukaran ke PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
Pelajar PBU 2016 yang telah tamat pengajian dan kini membuat bayaran balik, diminta menghentikan bayaran balik bermula 1 Jun 2025 sehingga proses penukaran opsyen dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.

Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai PBU Akademik ini, anda boleh rujuk pada Portal Penajaan JPA atau terus e-mel kepada [email protected].
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!