Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Pendaftaran BPR Dilanjutkan Sehingga 25 Februari

Pendaftaran BPR dilanjutkan sehingga 25 februari berbanding sebelum ini. Tarikh pendaftaran baharu dan kemaskini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sebelum ini dibuka dari 15 Januari 2021 sehingga 15 Februari 2021, kini dilanjutkan sehingga 25 Februari nanti.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan diambil bagi bagi memastikan BPR akan diterima oleh mereka yang benar-benar layak, serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara pada ketika ini.

PENDAFTARAN BPR UNTUK YANG TIDAK PERNAH MENERIMA BSH ATAU BPN

“Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40 serta isirumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

“Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, dengan adanya proses pendaftaran BPR baharu/kemaskini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula.

“Penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu/kemaskini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat,” katanya.

Menteri kewangan berkata, pembayaran Fasa 1 BPR akan dipercepatkan kepada penghujung Februari 2021, seperti yang diumumkan di dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari lalu.

“Bayaran Fasa 2 BPR dijangka dibuat awal bulan Mei 2021. Tempoh masa diperlukan untuk memproses permohonan yang diterima terutamanya permohonan baharu.

“Setakat ini, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem.

“Selain itu, proses semak silang ini juga membabitkan 25 agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan LHDNM untuk memastikan mereka yang benar-benar layak diluluskan BPR,” katanya.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu, https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : HARIAN METRO

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More