Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Penerima Prihatin Tidak Perlu Membuat Permohonan Permai

Penerima Prihatin dikecualikan daripada membuat permohonan Permai. Pemandu teksi, kereta sewa, bas persiaran, bas sekolah dan e-hailing yang merupakan penerima Prihatin sebelum ini akan dikecualikan daripada melalui proses permohonan bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong berkata, keputusan itu bagi mempercepatkan proses pembayaran bantuan one off RM500 kepada golongan berkenaan.

“Bagi teksi dan kereta sewa, semua pemandu yang menepati syarat kelayakan bantuan Prihatin sebelum ini diberi kelulusan secara automatik tanpa melalui saringan kriteria kelayakan sekali lagi untuk menerima bantuan Permai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

PENERIMA PRIHATIN TIDAK PERLU DISARING SEKALI LAGI

Menurutnya, semua pemandu bas persiaran yang menepati syarat kelayakan bantuan Prihatin sebelum ini tidak perlu disaring untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekali lagi.

“Cukup hanya saringan lesen memandu yang sah sahaja,” katanya.

Beliau berkata, semua pemandu bas sekolah yang menepati syarat kelayakan juga tidak perlu didaftarkan semula oleh syarikat masing-masing.

“Hanya saringan lesen vokasional, lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang sah sahaja akan dibuat,” katanya.

Ka Siong berkata, syarat pendapatan minimum RM1,200 untuk pemandu e-hailing bagi mendapatkan bantuan Prihatin sebelum ini telah dikurangkan kepada minima RM700 di bawah PERMAI untuk bulan Oktober, November atau Disember 2020.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia menggesa kepada semua pemohon baharu supaya memberikan maklumat yang tepat dan terkini kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sesuai dengan kriteria yang ditetapkan untuk memastikan pemprosesan dan pengagihan bantuan tunai mereka tidak lagi tertangguh,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM15 bilion bagi bayaran one off RM500 sebagai sebahagian daripada 22 inisiatif Permai yang diperkenalkan untuk melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat semasa berlakunya wabak Covid-19.

Sumber : SINAR HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More