Sumber Rujukan Globalisasi Anda

PENTING AJARI ANAK LELAKI URUS TUGASAN DI RUMAH

Masyarakat melayu sejak kecil sudah diajar bahawa kerja mengurus rumah tangga adalah perempuan. Masyarakat melayu memang terkenal dengan sikap mengikut adat orang tua-tua dahulu kala. Pada zaman ini, segalanya telah berubah. Perempuan sekarang dibebani kerja rumah yang banyak sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Tidak dinafikan, ada segelintir suami yang membantu isteri mengurus rumahtangga. tetapi tahukah anda tugas sebenar mengurus rumahtangga adalah seorang lelaki?

Dalam islam, tugas menguruskan rumahtangga adalah tanggungjawab para suami. Suami sebagai ketua keluarga seharusnya memainkan peranan utama dalam mengatur segala urusan rumah tangga dan jangan sesekali mengambil kesempatan atas kebaikan isteri.

Menurut penceramah bebas, Mohd Assubhi Sidon, isteri hanya bertanggungjawab membantu suami dalam melakukan semua perkara terbabit.

“Dalam kata lain, isteri membantu sekiranya si suami tidak mampu dan tiada masa untuk melakukan tugas itu disebabkan tuntutan kerja, bukan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab berkenaan kepada isteri.

“Tetapi, isteri yang melakukan tugas membantu suami pasti dikurniakan ganjaran pahala yang besar,” katanya.

Menurutnya, untuk mengelakkan berlaku ketidakadilan dalam rumahtangga dan perbalahan, suami perlu turut sama menguruskan rumahtangga.

“Jangan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada isteri walaupun dia tidak bekerja. Namun, kini kebanyakan suami sering menganggap dan bertindak seolah-olah semua itu tanggungjawab isteri serta mengharapkan isteri melakukan semua urusan rumahtangga tanpa rasa bersalah atau kasihan,” katanya.

Jom ubah sikit cara didikan anak lelaki, jangan letak dalam kepala anak lelaki tak perlu tahu cara urus rumah tangga. Tak salah ajar ilmu memasak, mengemas dan mengurus rumah pada anak lelaki kita. Nanti mereka tahu buat, kita juga yang senang.

Jangan letak dalam pemikiran bahawa anak lelaki tidak perlu tahu cara mengurus rumah tangga. Benda yang boleh kita ubah, kita patut ubah. Sudah cukup apabila golongan bapa zaman sekarang ini tidak tahu buat apa-apa.

Perkara paling asas perlu dididik sejak kecil, ajar anak selepas makan perlu basuh pinggan, lepas mandi kena masukkan baju dalam bakul, lepas main kena kemas barang, susun semula barang di tempatnya.

Biasa menjadi resam anak lelaki, selepas main dan makan, dia tinggal sahaja. Selepas mandi, baju bersepah. Bilik tidurnya, selimut tidak kemas, cadar di katil tidak dibetulkan.

Sikap jadi manja bagai raja ini boleh diubah. Jika kita ajar anak lelaki sejak kecil sampai dewasa, maka mereka jadi terbiasa dan akan ikut.

Bila hujung minggu, beri galakan kepada anak untuk bergotong royong dengan basuh bilik mandi dan tandas, sapu rumah dan mop lantai. Jangan manjakan anak-anak dengan ibu bapa yang jadi hamba mereka.

Kenalkan barang basah dan kering pada anak, jangan fikir anak kecik lagi tak perlu tahu. Kalau kita fikir macam tu, memang sampai besar lah dia tak tahu.

Ajar anak beli ikan dan sayur di pasar. Macamana nak tengok ikan tu segar lagi atau tidak. Tunjuk jenis sayur pada mereka, tak da lah besar nanti suruh beli daun sup dia bawak balik daun ketumbar.

Seterusnya ajar anak lelaki anda memasak. Bab ini sangat penting untuk ajar anak kita. Ajar mereka masakan asas yang mudah diingati. Ajar macam mana cara goreng ikan, goreng nugget dan masak nasi goreng. Benda paling ringkas ialah perlu ajar anak-anak masak nasi dan goreng telur.

Bukan kita perlu ajar anak ini masak nasi beriyani pun. Bila ajar masak kenalkan kepada anak lelaki anda jenis bawang, garam, gula, kunyit dan lain-lain rempah. Bila kita sudah ajar perkara asas memasak ini, tiadalah nanti bila kita bekerja di luar kawasan, anak duduk di rumah makan mi segera.

Mudah sahaja didik anak lelaki ini supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan tahu mengurus rumah tangga. Ajar mereka cara didikan di atas, jangan hanya fokus mengajar anak perempuan sahaja. Ini hal penting sebab ia membantu kita mengurus rumah.

Kesimpulannya, ibu bapa jangan berat sebelah dengan mengatakan pada anak perempuan kerja rumahtangga ini tanggungjawab perempuan. Didik anak lelaki supaya berdikari agar kelak menjadi insan yang bertanggungjawab.

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More