Sumber Rujukan Globalisasi Anda

PKPD Pelajar UTM tidak dibenarkan keluar kampus serta-merta

JOHOR BAHRU: Pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ), Skudai di sini, tidak dibenarkan keluar kampus serta-merta selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dilaksanakan di universiti itu, bermula esok.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata semua operasi fizikal di dalam kampus adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh ini.

Katanya, staf diminta untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh ini. Hanya staf Pusat Kesihatan Universiti dibenarkan untuk bertugas dari kampus.

“Pintu pagar utama hanya akan dibuka sehingga jam 5 petang, hari ini untuk sebarang urusan penutupan pejabat.

“Pelajar tidak dibenarkan keluar dari kampus berkuatkuasa serta-merta. Perkhidmatan penghantaran makanan sehingga jam 10 malam, hari ini sahaja.

“Kawalan pergerakan terdahulu kepada tiga kolej iaitu Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dan Kolej Tun Hussien Onn (KTHO) akan dilanjutkan sehingga hari ini.

“Bagaimanapun, bermula esok hingga 3 Jun keseluruhan kampus UTM Johor merangkumi ketiga-tiga kolej berkenaan adalah tertakluk kepada arahan PKPD di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fauzi berkata, hanya pintu pagar utama universiti (Pintu 1) sahaja yang akan digunakan sepanjang PKPD.

Katanya, staf yang bertugas dalam essential services, perlu tinggal di dalam kampus selama tempoh PKPD tersebut.

“Kafeteria dan kedai di dalam kampus dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam, hari ini dan akan ditutup sepanjang PKPD.

“Bermula esok, kawalan di kampus akan diambil alih sepenuhnya oleh MKN. Segala keperluan dan kebajikan staf serta pelajar yang tinggal di dalam kampus akan diuruskan oleh MKN, ” katanya.

Beliau berkata, kebajikan warga UTM, terutamanya pelajar dan staf yang berada di dalam kampus adalah menjadi keutamaan.

Ahmad Fauzi menasihatkan, seluruh warga universiti kekal tenang, patuhi SOP yang dikeluarkan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM), serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penularan wabak ini.

Katanya, perkembangan terkini kes COVID-19 di UTM dimaklumkan secara harian melalui e-mel.

Semalam, dalam kenyataan media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kampus UTM akan dilaksanakan PKPD selaras dengan Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Kes Covid-19 Tertinggi Di Malaysia Hari ini

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More