Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Individu Potong Giliran Dapatkan Vaksin Boleh Didenda RM50,000

Potong giliran dapatkan vaksin, denda RM50,000 menanti. Mana-mana individu yang melompat giliran bagi cuba mendapatkan vaksin COVID-19 dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung ketika ini berdepan penalti denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Ia susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa pada 11 Mac ini, yang turut menyertakan 10 peruntukan termasuk lima peruntukan baharu dan lima peruntukan sedia ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menggunakan Seksyen 31 yang memberi punca kuasa untuk pengenaan penalti mengikut Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan dalam akta berkenaan.

“Peraturan bawah subseksyen baharu ini boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan dalam Akta 342 menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

“Kita ada Seksyen 21A yang dipanggil peruntukan baharu, (memberi) kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan, membolehkannya mengeluarkan apa-apa cara, cara yang hendak dibuat.

POTONG GILIRAN

TIDAK HADIR MENGIKUT JADUAL ATAU POTONG GILIRAN YANG TELAH DITETAPKAN

“Sebagai contoh, seseorang dijadualkan mengambil pelalian tetapi mereka tidak datang (tanpa alasan munasabah) atau kita sudah beri nama untuk mendapat suntikan pada tarikh tertentu tetapi dia tiba-tiba potong giliran,” katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dr Adham berkata, tindakan itu boleh dikeluarkan dengan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun, setakat ini KKM belum menerima laporan rasmi membabitkan mana-mana individu memotong giliran untuk mendapatkan vaksin.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, penakrifan individu yang layak mendapatkan vaksin ketika ini perlu jelas bagi mengelakkan seseorang ditohmah sebagai melompat giliran.

Selain 10 peruntukan baharu dan sedia ada dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, ia antara lain turut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan arahan mengikut akta induk, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Seksyen 21A iaitu Arahan Ketua Pengarah, membolehkan Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan sebarang arahan bagi pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

“Semasa wabak COVID-19, kuasa Ketua Pengarah Kesihatan hanya diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dengan peruntukan baharu ini, Ketua Pengarah Kesihatan boleh mengeluarkan apa-apa cara, sama ada secara am atau khusus, kepada mana-mana orang atau golongan orang supaya mengambil langkah-langkah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More