Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Program Hackathon Politik: Pendedahan Dalam Dunia Politik

Isi Kandungan

Program Hackathon Politik dedahkan belia cabaran dunia politik

hackathon

Architects of Diversity (AOD) dengan sokongan Undi18 akan menganjurkan Hackathon Politik, bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia terutamanya anak muda mengenai cabaran dunia politik.

Menerusi program itu, setiap peserta perlu membentuk parti politik yang inklusif seterusnya berkhidmat untuk seluruh rakyat dan negara.

Peserta juga berpeluang mengetengahkan manifesto parti, berkempen pilihan raya, serta membahaskan idea sekali gus bertanding dalam pilihan raya umum. Parti yang berjaya memenangi kawasan terbanyak akan dinobatkan sebagai juara Hackathon.

Menurut pengasas bersama Architects of Diversity dan Pengarah Hackathon Politik, Jason Wee, pertandingan simulasi pilihan raya ini membolehkan anak muda melibatkan diri dalam politik baharu dan inklusif di samping membuat pertimbangan terhadap pelbagai kekangan dalam landskap pilihan raya Malaysia.

Negara kini terperangkap dalam politik personaliti dan identiti yang sebahagiannya disebabkan kekurangan ruang pembayangan dan penciptaan idea baharu.

“Kami berharap Hackathon Politik dapat melahirkan generasi pemikiran politik dan sosial baharu serta mampu mengambil hati semua rakyat.”

Sementara itu, pengasas bersama Architects of Diversity dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai pula berkata, pihaknya percaya bahawa belia mempunyai peranan penting dalam pembentukan politik masa depan.

“Menjelang tahun 2023, seramai 7.8 juta anak muda dijangka mendaftar sebagai  pengundi baharu.

Ia memberikan satu peluang untuk memikirkan semula sistem politik, khususnya parti politik sebagai cara perwakilan dalam demokrasi,” katanya.

Dalam pertandingan ini, Hackathon Politik dibahagikan kepada empat fasa. Menerusi fasa pertama, peserta Hackathon akan menjalani bengkel selama empat hari untuk mendalami pengetahuan mengenai politik, dasar kerajaan dan isu-isu sosial Malaysia.

Untuk fasa kedua pula, peserta akan membentang dan mempertahan strategi serta manifesto parti secara berpasukan kepada pemimpin muda Malaysia dalam acara ‘Dragon’s Den’.

Setelah itu, pembentangan akan dinilai berdasarkan kualiti daya maju, inovatif, inklusif dan potensi berkesan. Lima parti terbaik akan dipilih sebagai pasukan terakhir untuk tempoh kempen Hackathon.

Pasukan terpilih akan membuat kempen pilihan raya dan bertanding dalam debat gaya presiden secara maya.

Setiap wakil parti juga perlu membentang kedudukan mereka mengenai pelbagai isu dasar merangkumi imigresen, pendidikan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Dalam fasa terakhir, pasukan terpilih akan bertanding untuk meraih undi daripada sampel perwakilan rakyat Malaysia.

Pasukan yang mendapat sokongan terbanyak dari 33 kawasan pilihan raya bakal dinobatkan sebagai pemenang.

Lebih menarik, 30 pengundi daripada 33 kawasan ini akan diambil syarikat kaji selidik untuk membina landskap pengundi Malaysia.

Hackathon Politik terbuka kepada semua belia Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun. Anda boleh membuat permohonan secara dalam talian untuk individu atau berpasukan sehingga lima orang ahli bermula 1 hingga 21 April 2021 menerusi pautan ini.

Sementara itu, orang ramai dijemput untuk mendaftar sebagai pengundi awam yang akan dibahagikan secara rawak kepada tiga kawasan pilihan raya. Anda berpeluang mengundi secara dalam talian pada 12 Jun 2021 nanti.

Maklumat Lanjut

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Hackathon Politik, hubungi Jason Wee di [email protected] atau 014-3186370.

Artikel lain: Stres Pembunuh Dalam Senyap

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More