Sumber Rujukan Globalisasi Anda

PTPTN lancar kempen ‘duduk rumah’, tawar hadiah lumayan

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021 menawarkan hadiah yang sangat lumayan bagi menggalakkan orang ramai duduk rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan, Ketua Eksekutif Perbadanan itu, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen itu terbuka kepada pendeposit SSPN-i yang membuka akaun dan membuat penambahan deposit dalam tempoh promosi.

“Pelancaran kempen ini adalah usaha PTPTN agar rakyat Malaysia sentiasa mengutamakan simpanan demi masa depan di samping mengamalkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga dalam menghadapi cabaran Covid-19. 

“Dengan mengamalkan Stay Home, Stay Safe atau duduk rumah untuk kekal selamat, kita masih dapat terus menyemarakkan lagi budaya penabungan dengan membuat simpanan melalui saluran dalam talian yang disediakan lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai tidak perlu risau kerana SSPN-i merupakan skim simpanan patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan.

Baca Juga: Permohonan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN

Tambah Ahmad Dasuki, pelanggan hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan deposit minimum RM200 dalam tempoh promosi dan mengekalkannya selama tiga bulan selepas tamat tempoh promosi iaitu bermula 1 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2021.

“Setiap simpanan bernilai RM50 akan melayakkan pendeposit mendapat satu cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.

“Pendeposit yang mempunyai akaun SSPN-i juga dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang SSPN-i tawarkan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000.00, dividen yang kompetitif, perlindungan takaful ringgit ke ringgit secara percuma serta pemberian Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 kepada pendeposit yang layak,” katanya.

Isi Kandungan

Kategori Cabutan Bertuah

Terdapat tiga kategori cabutan bagi kempen ini iaitu Kategori Platinum, Gold dan Silver bernilai hampir RM240,000 untuk 39 orang pemenang.

Tempoh Promosi

Tempoh promosi bermula pada 1 sehingga 30 September 2021.

Hadiah Utama

  • Sebuah kereta Proton X50 bagi Kategori Platinum.
  • Sebuah kereta Perodua Myvi 1.5cc bagi Kategori Gold
  • Sebuah motosikal Yamaha Y15zr bagi Kategori Silver.

Tidak ketinggalan bagi tempat kedua, ketiga dan saguhati juga turut disediakan dan amat berbaloi untuk dimenangi seperti barang kemas, komputer riba dan wang tunai.

Sumber Utusan Malaysia

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More