Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Rentas negeri ketika Aidilfitri, polis akan periksa rumah ke rumah

Ada Yang Ambil Kesempatan Rentas Negeri Semasa Hujan

negeri

Polis akan mengekalkan kaedah sama seperti perayaan Aidilfitri sebelum ini iaitu dengan mengadakan pemeriksaan mengejut rumah ke rumah bagi memeriksa kebenaran surat rentas negeri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, ini kerana, ada pihak yang mengambil kesempatan meloloskan diri ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) sempadan.

“Seperti perayaan tahun lalu, kita akan menggunakan strategi sama dengan membuat pemeriksaan di rumah.

“Kita akan periksa rumah yang ada banyak kereta untuk lihat sama ada mereka mempunyai surat rentas negeri atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran buku 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013 di Dewan 1 Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini, hari ini.

Menurut beliau, ada pihak yang semakin bijak untuk merentas negeri.

“Ada kalanya, mereka ini sudah semakin pandai. Apabila hujan lebat atau ribut, ada kalanya anggota tidak dapat berkawal di laluan atas faktor keselamatan dan berlindung di pondok.

“Ketika itulah ramai yang ambil kesempatan untuk rentas negeri,” katanya.

Abd Rahim berkata, tindakan itu bukan semata-mata dilakukan untuk menyekat rakyat pulang ke kampung berhari raya sebaliknya demi memastikan penularan Covid-19 terkawal.

“Bila kita lihat sekarang, sukar untuk turunkan angka Covid-19 jika tiada kerjasama. Kita bimbang, selepas ini kes melonjak sehingga 5,000.

“Keadaan ini cukup tidak memberikan keselesaan kepada kita untuk menjalankan aktiviti ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas berhubung isu pergerakan rentas negeri yang diluluskan dengan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis.

“Jangan salah faham dengan apa yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani), pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan Isnin hingga Khamis itu oleh kerana ada penyalahgunaan dan bergerak hujung minggu untuk hadir kenduri kahwin dan sebagainya.

“Bukan tidak boleh bergerak Jumaat, Sabtu dan Ahad, jika berlaku kecemasan seperti kematian dan kalau terpaksa juga bekerja pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, kemukakan surat, kita akan benarkan, tiada masalah,” katanya.

Sumber Harian Metro

Artikel lain: 25 Individu Ditahan Terbabit Iklan Raya Promosi Judi

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More