Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Seni Malaysia Tahun 2026

Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan 1 Sekolah Seni Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi persekolahan tahun 2026 kini dibuka.
Isi Kandungan
Apa Itu Sekolah Seni Malaysia?
Sekolah Seni Malaysia (SSeM) adalah institusi pendidikan formal yang menyediakan kemudahan untuk membangunkan bakat dan potensi murid dalam bidang kesenian dan kebudayaan.
Tujuannya adalah untuk melahirkan individu yang berbudaya, bertanggungjawab dan mempunyai identiti Malaysia melalui pendidikan seni yang terancang.
Penubuhan SSeM adalah sejajar dengan usaha KPM sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025: Menyediakan Kesamarataan Akses kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa dengan memperluas akses dan meningkatkan kualiti pendidikan selari dengan usaha untuk mengukuhkan sistem pendidikan negara yang lebih menyeluruh dan bukan berkisar kepada akademik semata-mata.
SSeM ditubuhkan untuk memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda Malaysia untuk berkarya dalam bidang seni dan tidak hanya bergantung kepada kerjaya tertentu sahaja sebaliknya mereka boleh membentuk kerjaya dalam bidang seni.
Bidang kesenian yang ditawarkan adalah seperti berikut:
- Tari.
- Muzik.
- Teater / Seni Lakonan.
- Seni Visual.
Pengambilan murid adalah terbuka kepada semua murid sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dari seluruh negara.
Pengambilan murid hanyalah ke Tingkatan 1 sahaja. Tiada pengambilan ke Tingkatan 2, 3, 4 atau 5.

Syarat Kelayakan Permohonan
Syarat-syarat Permohonan adalah seperti ketetapan berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Murid Tahun Enam sahaja.
- Calon mesti daripada sekolah kerajaan, bantuan penuh kerajaan dan sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
- Berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian (Tari / Muzik / Teater / Seni Visual).
- Sihat tubuh badan.
- Hanya permohonan secara ‘online’ akan diproses.
Syarat-syarat Kemasukan pula adalah seperti ketetapan berikut:
- Lulus dalam sesi uji bakat pemilihan murid secara bersemuka.
- Bersetuju menerima kemasukan ke SSeM yang ditawarkan mengikut bidang yang ditetapkan.
- Murid yang berjaya wajib tinggal di asrama dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan.
- Mengemukakan rekod kesihatan murid.
- Mengemukakan semua dokumen asal semasa temu duga atau uji bakat.
- Permohonan akan ditolak sekiranya calon memalsukan sebarang dokumen semasa membuat permohonan.
Cara Membuat Permohonan
Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan 1 Sekolah Seni Malaysia bagi tahun 2026 boleh dibuat bermula 15 Julai 2025 sehingga 15 September 2025 secara atas talian (online) melalui Sistem e-SSeM.
Pemohon boleh mendaftar masuk dengan menggunakan No. Kad Pengenalan calon.
Hanya permohonan secara online akan diproses.
Pemohon perlu malalui proses uji bakat secara bersemuka.
Bagi permohonan kemasukan 2026, uji bakat atau Sesi Serlahan Seni akan dilaksanakan secara bersemuka di pusat temuduga yang akan ditentukan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian. Calon yang membuat permohonan perlu menyemak secara online melalui Sistem e-SSeM.
Hanya pemohon yang melalui proses uji bakat sahaja akan disenarai pendek untuk pemilihan.
Senarai Sekolah Seni Malaysia
Terdapat beberapa buah Sekolah Seni KPM yang terdapat di seluruh Malaysia, iaitu adalah seperti berikut:
| Senarai Sekolah | Talian Hubungi |
|---|---|
| Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ), Jalan Persiaran Sinaran Ilmu, Bandar Seri Alam, 81750, Masai, Johor Darul Takzim. | Tel.: 07 – 3870 215 Faks: 07 – 3860 215 E-mel: [email protected] |
| Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS), Lot 7794, Blok 9, Salak Land District, Jalan Sultan Tengah, 93050 Santubong, Kuching, Sarawak | Tel.: 08 – 2510 356 / 2536 185 Faks: 08 – 2513 917 E-mel: [email protected] |
| Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL), Jalan Seladang Off Jalan Pasar, 55100, Kuala Lumpur. | E-mel: [email protected] |
| Sekolah Seni Malaysia Perak (SSemP), Kampung Baharu, Simpang Jalong, 31100, Sg. Siput (U), Perak. | Tel.: 05 – 5951 350 Faks: 05 – 5951 351 E-mel: [email protected] |
| Program Pendidikan Seni, SMK Elopura, Peti Surat 1091, 90712, Sandakan, Sabah. | Tel.: 08 – 9532 036 Faks: 08 – 9533 960 E-mel: [email protected] |
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan 1 Sekolah Seni Malaysia bagi tahun 2026 ini, sila hubungi talian 03 – 8872 1625 atau e-mel kepada [email protected].
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!



