Sumber Rujukan Globalisasi Anda

ALERT Sila buat saringan Covid-19,jika anda ada singgah di kedai nasi kandar pekan Napoh

POLIS meminta kerjasama orang ramai yang pernah makan atau singgah di sebuah kedai nasi kandar Pekan Napoh di Jitra supaya menjalani pemeriksaan saringan di klinik kesihatan dengan segera bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19.

Mereka yang singgah makan pada 13 hingga 24 Julai lalu di kedai makan itu diharap dapat menjalani ujian saringan berikutan enam bukan warga negara disahkan positif Covid-19.

Saringan COvid19

ALERT Sila buat saringan Covid-19,jika anda ada singgah di kedai nasi kandar pekan Napoh 1
ALERT Sila buat saringan Covid-19,jika anda ada singgah di kedai nasi kandar pekan Napoh 3

Sebelum ini, pengusaha kedai makan itu ditahan polis dan dikompaun RM1,000 kerana ingkar kuarantin 14 hari selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu dan disahkan negatif ketika menjalani pemeriksaan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dia positif Covid-19 ketika melakukan pemeriksaan saringan kedua dan lima lagi yang juga kontak rapat dengannya disahkan positif dari kluster Sivagangga.

Empat lelaki yang turut disahkan positif itu ialah pekerja bukan warga negara dan seorang lagi adalah anak pengusaha kedai nasi kandar itu dan mereka kini sedang dirawat di hospital.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kedai nasi kandar itu hari ini mendapati, premis itu ditutup sepenuhnya dan dipantau sekali oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kedai nasi kandar itu diarahkan tutup serta-merta sejurus selepas lelaki itu ditahan minggu lalu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya percaya ramai pelanggan singgah makan di situ sepanjang tempoh 13 Julai hingga 24 Julai lalu.

“Kita nasihatkan mereka yang singgah di situ yang juga kontak terdekat boleh segera ke pejabat kesihatan daerah atau klinik kesihatan berhampiran untuk menjalani rawatan saringan.

“Kita bimbang jika langkah ini tidak diambil, berkemungkinan ramai yang akan dijangkiti tetapi kita nasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) dengan memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sepanjang masa dan melakukan pemeriksaan sekiranya bergejala,” katanya.

Sementara itu, penduduk di pekan Napoh, Dr Khairuddin Md Isa berkata, hari ini lebih 20 individu yang juga penduduk setempat di kawasan itu melakukan pemeriksaan saringan di sebuah klinik kerajaan di Napoh.

Beliau yang juga pensyarah di sebuah universiti di Perlis berkata, penduduk di kawasan itu bimbang wabak Covid-19 menular di situ walaupun sebahagian mereka tidak pernah makan di kedai nasi kandar berkenaan.

ALERT Sila buat saringan Covid-19,jika anda ada singgah di kedai nasi kandar pekan Napoh 2

“Kebanyakan yang singgah makan di situ pemandu lori dari luar yang datang dari kawasan Bukit Kayu Hitam menuju selatan dan kita bimbang sekiranya mereka tidak melakukan ujian saringan.

“Saya berharap mereka buatlah saringan kesihatan untuk mengelakkan lebih ramai dijangkiti wabak itu kerana perkara ini bukan boleh main-main,” katanya.

Wanita yang dikenali sebagai Ayu, 35, yang tinggal bersebelahan kedai nasi kandar itu pula berkata, dia tidak membenarkan dua anaknya yang berusia lapan dan 11 tahun pergi ke sekolah sejak semalam kerana bimbang persepsi masyarakat terhadap keluarganya disebabkan kes itu.

Katanya, pasukan pemantau Covid-19 ada menghubunginya untuk melakukan pemeriksaan namun dia memaklumkan tidak pernah mengunjungi kedai makan itu walaupun sebelah rumah.

“Pada 13 Julai lalu saya ada nampak pengusaha nasi kandar tu di belakang dapur rumah dan mengesyaki sesuatu apabila memakai gelang merah jambu sedangkan dia baru pulang dari India.

“Tidak lama kemudian saya nampak anggota polis dan tentera di kedai makan itu dan mengetahui lelaki itu ingkar kuarantin menyebabkan kami sekeluarga takut nak keluar rumah sampai sekarang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi SOP dengan menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter, sentiasa membasuh tangan dan memakai pelitup muka.

sumber: harian metro

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More