Permohonan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi Dibuka, Daftar Segera!

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi untuk makluman semua rakyat Malaysia.
Isi Kandungan
Apa Itu Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi?
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ialah sebuah inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) yang membolehkan syarikat pengangkutan (kenderaan awam / barangan) mendapat subsidi petrol secara terkawal menggunakan Fleet Card.

Syarat Kelayakan
Berikut adalah syarat-syarat kelayakan bagi yang ingin membuat pendaftaran Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi ini, iaitu:
- Pemilik kenderaan iaitu individu / wakil bagi syarikat (sekurang-kurangnya pangkat Eksekutif) boleh berurusan di KPDN.
- Kenderaan yang layak memohon petrol bersubsidi dan diesel bersubsidi adalah tertakluk kepada kategori yang dibenarkan sahaja.
- ‘Runner‘ tidak dibenarkan berurusan dengan KPDN.
- Kesemua syarikat / individu yang mendapat kelayakan membeli petrol bersubsidi dan diesel bersubsidi Fleet Card tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Jumlah petrol bersubsidi dan diesel bersubsidi yang diluluskan adalah untuk kegunaan kenderaan yang dimiliki sendiri atau yang didaftarkan di bawah syarikat tuan sahaja.
- Mengemukakan dengan lengkap dan tepat apa-apa maklumat atau penjelasan yang diminta oleh KPDN.
- Pemegang subsidi dikehendaki memaklumkan kepada KPDN sekiranya terdapat sebarang perubahan ke atas aktiviti operasi pengangkutan mereka seperti pertukaran hak milik bas dan sebagainya.
- Mematuhi semua syarat yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh KPDN.
- Memenuhi syarat dan terma yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat minyak yang mengeluarkan Fleet Card.
- KPDN berhak mengkaji semula / menarik balik kelulusan sekiranya pemegang subsidi gagal mematuhi mana-mana syarat di atas.
Jenis kenderaan yang layak di bawah SKPS ini adalah seperti ketetapan berikut:
| Sektor Pengangkutan Darat Awam | 1. Teksi 2. Kereta Sewa 3. Bas Sekolah 4. Van Mayat 5. Ambulans 6. Bomba 7. Bas Pengantara 8. Bas Berhenti-henti 9. Bas Mini |
| Sektor Pengangkutan Darat Barangan | 1. Lori Kargo Am 2. Semi Panel Van 3. Lori Luton / Kotak 4. Panel Van 5. Window Van 6. Lori Food Catering 7. Lori Rigid – Refrigerated 8. Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak 9. Van Rigid – Perkhidmatan Bergerak 10. Lori Rigid – Kandang Haiwan 11. Van Food – Catering 12. Lori Rigid – Hasil Pertanian |
Senarai jenis kenderaan yang layak adalah tertakluk kepada pindaan atau keputusan Kerajaan dari semasa ke semasa.
Cara Membuat Pendaftaran
Pendaftaran perlu dilakukan mengikut kategori pemilikan kenderaan yang layak di bawah SKPS seperti berikut:
| Pemilikan Tunggal | Kenderaan didaftarkan di bawah nombor kad pengenalan pemilik. |
| Syarikat | Kenderaan didaftarkan di bawah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). |
| Koperasi / PBT | Kenderaan yang didaftarkan di bawah Koperasi atau syarikat yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). |
Pendaftaran Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi boleh dibuat oleh syarikat secara dalam talian (online) menerusi Sistem MySubsidi (Modul Petrol) bermula 15 September 2025.
Tempoh Kelulusan Kelayakan SKPS
Kelulusan adalah serta merta tertakluk kepada kelayakan jenis badan, kelas kegunaan dan tempoh cukai jalan kenderaan yang sah.
Selain itu, maklumat yang telah diisi perlu tepat dan akuan telah dihantar untuk permohonan dianggap lengkap.
Tempoh Sah Laku Kelulusan SKPS
Tempoh sah laku kelulusan petrol bersubsidi adalah bergantung kepada tempoh sah laku cukai jalan kenderaan.
Cukai jalan mestilah dikemaskini sebelum 28 haribulan setiap bulan dan pembaharuan cukai jalan perlu melangkaui bulan seterusnya untuk mendapatkan subsidi pada bulan berikutnya.
Cara Memohon Fleet Card Selepas SKPS Diluluskan
Setelah mendapat kelulusan SKPS, pemohon perlu menyerahkan dua (2) dokumen ke syarikat minyak pilihan, iaitu:
- Surat Kelayakan Membeli Petrol Bersubsidi.
- Senarai Kenderaan yang diluluskan.
Syarikat minyak memerlukan sehingga 14 hari bekerja untuk proses permohonan Fleet Card setelah permohonan lengkap dikemukakan.

Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut atau persoalan berkaitan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi ini, anda boleh rujuk Soalan Lazim mengenai SKPS ini dari semasa ke semasa atau terus e-mel pertanyaan anda kepada [email protected].
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!




