Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Sorok Anak Dalam Bonet Kereta Demi Rentas Daerah

Sorok anak dalam bonet kereta semata-mata hendak rentas daerah. Tindakan seorang wanita yang mahu merentas daerah dengan menyembunyikan anak tirinya dalam but kereta bagi mengelak disoal polis, gagal apabila polis mengesan perbuatannya itu di sekatan jalan raya di Kilometer 2.4 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) di sini, petang semalam.

Wanita berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja melalui sekatan jalan itu jam 5 petang dan memberitahu kepada polis yang bertugas mahu ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya untuk membeli pakaian.

SOROK ANAK DALAM BONET KERANA TIADA PERMIT PERGERAKAN RENTAS DAERAH

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata ketika itu ada seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di tempat duduk hadapan penumpang.

“Anggota polis kemudian meminta wanita itu mengalihkan kenderaannya ke bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut apabila curiga dengan keadaan kereta yang nampak mendap.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga anak tiri wanita itu dalam bonet kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, polis mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap wanita itu kerana gagal mengemukakan permit pergerakan merentas daerah dan diarahkan berpatah balik.

Terdahulu, viral di media sosial apabila beberapa gambar seorang lelaki yang dipercayai bersembunyi di dalam bonet kereta untuk merentas daerah.

Situasi itu menarik perhatian netizen yang rata-ratanya terhibur dengan insiden sorok anak dalam bonet berkenaan.

Sumber : BERITA HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More