Subsidi Telur Ayam Dikurangkan Secara Berfasa Bermula Mei 2025

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai subsidi telur ayam yang akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Ogos ini.
Isi Kandungan
Subsidi Telur Ayam Dikurangkan Mulai 1 Mei 2025
Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah Kerajaan MADANI, Kerajaan telah bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025.
Subsidi telur ayam ditamatkan secara berfasa berikutan:
| Kos Pengeluaran Stabil | Kos import makanan ayam (soya dan jagung bijian) telah kembali rendah (tidak seperti era Covid-19). |
| Kapasiti Pengeluaran Bertambah | Kesemua ladang telah beroperasi penuh seperti sebelum era Covid-19. |
| Pendapatan Pengeluaran Stabil | Kesemua syarikat pengeluar telur ayam telah kembali mencatat keuntungan yang munasabah. |
| Bekalan Mencukupi | Jumlah bekalan telur telah mencukupi, harga terkawal dengan sendirinya. |
| Sosioekonomi Dan Kebajikan Rakyat | Peruntukkan Kerajaan digunakan untuk keperluan rakyat yang lebih mendesak. |
Seterusnya, pemberian subsidi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Ogos 2025.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.
Kenyataan media lengkap dan rasmi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai Hala Tuju Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam pada 30 April 2025 adalah seperti berikut:

Soalan Lazim Hala Tuju Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam
Berikut adalah beberapa soalan lazim (FAQ) berkaitan Hala Tuju Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam yang telah disediakan oleh KPKM.

Apakah Tujuan Penyasaran Semula Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam?
Penyasaran semula subsidi dan kawalan harga telur ayam ini akan dapat mengukuhkan kedudukan kewangan dan fiskal negara yang mana perkara ini membolehkan pihak Kerajaan menggunakan peruntukkan tersebut untuk keperluan rakyat yang lebih mendesak demi kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Mengapakah Pihak Kerajaan Melakukan Penyasaran Semula Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam?
Berdasarkan jaminan industri terhadap bekalan yang mencukupi, seperti dibuktikan semasa Aidilfitri serta kerana tempoh subsidi yang terlalu lama (1,273 hari sehingga 31 Julai 2025) tidak lagi mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara. Langkah tersebut adalah lebih adil memandangkan subsidi ketika ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Bagaimanakah Proses Penyasaran Semula Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam?
Proses penyasaran ini akan dilakukan secara berperingkat (soft-landing) bagi meringankan impak kepada rakyat, iaitu:
- Kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji.
- Ditamatkan pemberian subsidi telur ayam sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Apakah Mekanisme Kerajaan Bagi Memastikan Golongan Berpendapatan Rendah Benar-Benar Dilindungi Daripada Impak Penyasaran Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam?
Pihak industri bersetuju memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
KPKM dan KPDN pula komited untuk meneruskan Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara, termasuk di outlet FAMA dan LPP, bagi menjamin bekalan berpatutan dan akses maklumat lokasi penjualan barangan keperluan asas seperti telur.
Adakah Warganegara Asing Boleh Membeli Telur Gred Khas Tersebut?
Boleh. Kerana ia tidak melibatkan subsidi Kerajaan.
Adakah Program Penyasaran Subsidi Dan Penamatan Kawalan Harga Telur Ayam Ini Hanya Akan Menguntungkan Pihak Industri?
Tidak. Manfaat utama penyasaran subsidi dan penamatan kawalan harga telur sudah pastinya akan memberi penjimatan kepada perbelanjaan Kerajaan dan sudah tentunya akan dikembalikan semula kepada rakyat dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dasar, program atau projek Kerajaan lain.
Ini akan menguntungkan rakyat dan bukannya pihak industri.
Apakah Sabah Dan Sarawak Akan Turut Terlibat Dalam Penyasaran Subsidi Dan Kawalan Harga Telur Ayam Ini?
Ya. Dasar ini turut melibatkan Sabah dan Sarawak.
Maklumat Lanjut
Rakyat boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di alamat [email protected] atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya pada talian 03 – 8000 8000.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!



