Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Tarikh Baru Peperiksaan PT3, SPM, STPM Tahun 2020

Tarikh baru peperiksaan dah keluar! Pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ternyata memberi kesan besar rakyat di negara ini, tidak terkecuali golongan pelajar yang sebahagiannya merupakan calon-calon peperiksaan utama kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Berdasarkan kenyataan media KPM yang disiarkan pada 28 Mac 2020 lalu, tarikh peperiksaan pusat dan lain-lain peperiksaan di bawah kendalian  KPM bagi tahun 2020 telah dijadualkan semula berikutan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020.

Tarikh Baru Peperiksaan PT3, SPM, STPM Tahun 2020 1
Tarikh Baru Peperiksaan PT3, SPM, STPM Tahun 2020

Jadual Tarikh Baru Peperiksaan Besar

Penjadualan semula dibuat setelah meneliti keadaan semasa dan ianya adalah untuk memastikan semua kurikulum mata pelajaran yang diambil oleh calon peperiksaan dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Penjadualan semula tarikh peperiksaan melibatkan 12 jenis peperiksaan termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertulis, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bertulis, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester 2, STPM Ulangan 2 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Walau bagaimanapun, enam peperiksaan lagi kekal dengan tarikh asal yang dijadualkan sebelum ini termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) lisan dan bertulis.

Bagi peperiksaan STPM Semester 2 pula telah dianjak dari bulan Mei ke November untuk memberi peluang sekolah menguruskan sukatan pelajaran semester 2 yang tertinggal, manakala peperiksaan STPM Ulangan Semester 2 dianjak ke bulan Mac 2021.

Sebarang pindaan jadual akan dimaklumkan oleh KPM dan untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila berhubung terus dengan Pusat Panggilan Covid-19 KPM di talian 03-8884 9383/ 8884 9325/ 8884 9401 dan 8888 6749 bagi mendapat maklumat yang sahih.

Sepanjang tempoh lanjutan PKP ini, golongan pelajar perlulah bijak menyusun jadual mengulangkaji pelajaran dan melakukan aktiviti berfaedah di rumah.  Kebanyakan guru  juga telah mengambil inisiatif mengajar dan memberikan tugasan kepada pelajar menggunakan aplikasi pembelajaran atas talian. Bagi pelajar yang mempunyai akses internet di rumah, peluang ini haruslah dimanfaatkan sebaiknya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan kelak.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua, KPM telah mengambil pendekatan mengadakan sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan menerusi saluran baharu RTM, TV Okey bermula Isnin depan. Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan itu akan menawarkan siri latihan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di negara ini, khususnya yang tidak mempunyai akses internet tetapi masih mempunyai akses televisyen.

Semoga dengan adanya inisiatif ini, semua pelajar dapat membuat persediaan ulangkaji di rumah bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan datang iaitu selepas berakhirnya tempoh PKP.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More