Sumber Rujukan Globalisasi Anda

TERKINI | SPM BOLEH BUKA BUKU

Rombak semula peperiksaan SPM. Pakar-pakar pendidikan bersetuju jika sistem peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dirombak semula serta mengesyorkan agar kaedah ‘open-book test’ turut dipraktikkan untuk melatih pelajar bukan sekadar menghafal malah berfikir.

Tokoh Guru Kebangsaan 2018, Hamzah Othman berkata, beliau menyokong cadangan supaya sistem peperiksaan SPM dinilai semula bagi tujuan penambahbaikan.

SPM DENGAN KAEDAH ‘OPEN-BOOK TEST’

“Cadangan mentransformasikan peperiksaan SPM dengan mengintegrasikan teknologi seperti peperiksaan dalam bentuk digital boleh memudahkan pelaksanaan peperiksaan itu sendiri.

“Pada masa sama, kaedah ‘open-book test’ bagi kertas tertentu khasnya subjek Sains seperti Fizik, Kimia dan Biologi boleh diperkenalkan juga,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, cadangan itu seiring dengan penekanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) terhadap soalan kemahiran berfikir aras tinggi atau KBAT.

“Kaedah ‘open-book test’ sangat sesuai untuk dilaksanakan kerana ia boleh melatih pelajar berfikir, mencari dan mencadangkan penyelesaian masalah.

“Ia kerana, realitinya dalam kehidupan dan di tempat kerja, kita boleh rujuk atau mencari sumber dalam buku, internet atau bertanya kawan yang berpengalaman.

“Hakikatnya, seseorang pegawai itu tidak perlu ingat semua perkara. Yang penting kepakaran merujuk buku dan menganalisis maklumat yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Hamzah turut memaklumkan, kaedah ‘open-book test’ juga telah lama dipraktikkan dalam peperiksaan profesional seperti dalam bidang akaun dan guaman (perundangan).

Justeru, katanya, ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi mutu pendidikan negara seiring dengan perkembangan semasa.

“Kaedah ini juga bukannya memberi ruang kepada pelajar untuk meniru kerana maklumat yang ada dalam buku hanya membantu mereka untuk membuat analisis sebelum memberikan jawapan.

“Dengan pendekatan ini, kita dapat mengikis budaya menghafal untuk peperiksaan daripada terus berlaku kerana pelajar akan dilatih untuk berfikir.

Tambah Hamzah, ia juga selari dengan usaha untuk melahirkan pemimpin masa depan yang kritis dengan dipandu nilai murni atau akhlak mengikut ajaran setiap agama.

SPM SEIRING DENGAN NORMAL BAHARU

Sementara itu, Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Dr Faaizah Shahbodin berkata, rombakan sistem peperiksaan SPM seiring dengan normal baharu kehidupan ketika ini ekoran pandemik Covid-19.

Profesor Dr Faaizah Shahbodin

Menurutnya, pendigitalan sistem peperiksaan SPM juga tidak sukar dilaksanakan kerana teknologinya telah ada dan ketika ini juga terdapat universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk UTeM telah membuat penilaian secara dalam talian.

“Teknologi yang ada sekarang sememangnya sudah bersedia untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian malahan di universiti tertentu, kaedah pemarkahan juga dibuat secara digital.

Bagaimanapun, kajian mendalam mengenai rombakan sistem ini juga perlu dilakukan dengan melibatkan semua pihak. Untuk pelaksanaan peperiksaan SPM secara dalam talian juga, kajian dari segi keselamatan perlu dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang ciri keselamatan itu, beliau berkata, ia perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada ruang untuk penipuan dilakukan ketika peperiksaan.

“Sekarang sudah ada teknologi yang boleh mengesan seseorang itu mendaftar masuk (log in) dalam sistem dan waktu seseorang itu hantar sesuatu dokumen.

“Jadi untuk tujuan peperiksaan kita sudah ada platform itu yang boleh digunakan nanti,” katanya.

Faaizah menjelaskan, memandangkan semua aspek perlu diambil kira sebelum sesuatu perubahan dilakukan, transformasi perlu diadakan secara berperingkat mengambil kira bukan semua sekolah mempunyai fasiliti dan capaian internet yang laju.

“Perbincangan juga perlu melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kerana mereka lebih mengetahui sekolah mana yang ada kemudahan teknologi dan yang sebaliknya,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More