Sumber Rujukan Globalisasi Anda

UKM Mesra Pelajar OKU, Atlet

UKM Mesra Pelajar OKU

oku

PETALING JAYA: “Tidak sepatutnya saya gagal hanya kerana buta.”

Demikian kata-kata dipegang Azree Feekree Zamzuri, 25, seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang cacat penglihatan tetapi berjaya menggenggam ijazah.

Dia yang juga adai bakat menyanyi berkata, semangat disertai bantuan rakan-rakan dan pensyarah menjadikannya terus cekal meneruskan pengajian sehingga tamat.

“Hari ini adalah hari saya membuktikan kepada semua bahawa penat -lelah saya berbayar walaupun ketika pandemik Covid-19.

“Selain itu, UKM juga banyak menyediakan peluang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda termasuk dengan menyediakan soalan dan jawapan peperiksaan dalam bentuk braille. Saya sangat berterima kasih,” katanya selepas Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 di sini semalam.

Azree, anak jati Semenyih ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Pendidikan Khas) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 37.0.

Seramai 6,166 graduan UKM menerima ijazah masing-masing dalam majlis bermula 3 hingga 12 April di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar).

Rakannya dalam bidang sama, Nur Aishah Tajudin, 25, berkata, peluang dan kemudahan ditawarkan UKM bukan sahaja dalam bidang akademik semata-mata, tetapi meliputi bidang kokurikulum.

Nur Aishah dari Terengganu berkata, selain akademik dia turut aktif dalam Persatuan Silat Cekak Malaysia sehingga berjaya tamat dalam silibus seni bela diri itu.

“Saya berpuas hati dengan sistem pengajaran dan pembelajaran di UKM kerana ia antara universiti awam terbaik. Pensyarah sentiasa bersifat terbuka, memahami serta memenuhi keperluan pelajar,” ujarnya.

Bagi Ainur Athira Zulkeflee, 26 pula berkata, kemudahan sistem sokongan yang disediakan UKM untuk pelajar OKU adalah antara yang terbaik.

“Saya gembira belajar di sini dan tidak akan mensia-siakan ilmu ditimba daripada pensyarah-pensyarah UKM yang mesra pelajar OKU,” katanya.

Sementara itu, Kapten Kriket Wanita Kebangsaan, Winniefred Anne Duraisingam berkata, kesibukannya sebagai atlet dan pelajar bukan halangan untuk mencatat kejayaan sama ada dalam bidang sukan atau akademik.

“Saya pernah berdepan peperiksaan bertembung dengan jadual pertandingan. Tetapi akhirnya saya berjaya menguruskan kedua-dua dengan amalan mematuhi disiplin ketat,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

Winniefred Anne, seorang pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA 2017 berjaya meraih Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sukan dan Rekreasi) selepas hampir lima tahun menuntut di UKM.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Pemimpin Mahasiswa Galas Cabaran Baharu

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More