Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Umat Islam perlu ambil peluang belajar skil baharu

Umat Islam Diseru Sumbang Perkara Lebih Baik Kepada Masyarakat dan Dunia

Umat Islam perlu cakna dan mengambil peluang mempelajari skil baharu untuk menghadapi perubahan semasa yang berlaku begitu cepat pada masa kini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, ramai ilmuwan Islam menyeru seluruh masyarakat Islam ke arah perubahan cara fikir untuk membina umat yang dapat menyumbang perkara lebih baik kepada masyarakat dan dunia sejagat.

“Walaupun umat Islam di dunia berdepan pelbagai cabaran sejak beberapa abad lalu seperti penjajahan, konflik dan kemiskinan, ia bukan penghalang untuk bergerak maju dalam dunia kompetitif hari ini,” katanya dalam ucapannya bertajuk Penerapan Nilai Sivik dalam Generasi Muslim Masa Hadapan.

Ucapan itu ditayangkan menerusi siaran video pada Majlis Perasmian ‘Youth, Foresight And Civics Education (VALUES2021)’ di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian D McFeeters dan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, negara memerlukan generasi muda yang cergas daya pemikiran, berfikiran global, berdaya saing, prihatin, luas kenalan dan kolaborasi.

Beliau berkata, generasi Muslim yang pemikiran kelas pertama adalah daripada golongan rajin membaca iaitu amalan sarjana hebat yang sentiasa mengkaji dan kembali memanfaatkan ummah.

Menurutnya, golongan belia tidak boleh terkongkong dalam kerangka pemikiran lama dan bergantung kepada pembacaan terhad kerana ia menyempitkan perspektif terhadap sesuatu perkara.

“Pendedahan, hubungan dengan budaya dan sumber ilmu luar perlulah diluaskan melalui penguasaan bahasa dan kolaborasi yang pelbagai.

“Ciri-ciri generasi belia Muslim disegani ialah cerminan adab dan akhlak tinggi,” katanya.

Zulkifli berkata, satu daripada cabaran dihadapi belia Islam masa kini ialah pengaruh gerakan radikal yang bergerak dalam masyarakat dan kewujudan kumpulan seperti ini yang menggunakan nama Islam membawa imej buruk terhadap agama dan mengancam keselamatan serantau.

Beliau berkata, susulan itu, Malaysia perlu mengambil serius mengenai perkara ini dan semua pihak perlu bergerak secara selari memberikan pendedahan kepada belia untuk mengenal pasti ancaman ini.

“Cara terbaik ialah melalui pemahaman mengenai agama Islam yang betul, berpegang kepada nilai kemasyarakatan, memahami kepentingan demokrasi dan sivik dalam kenegaraan.

“Antara kemahiran abad ke-21 yang ditekankan hari ini ialah kesedaran global, literasi kewangan, kesedaran kesihatan dan kesedaran sivik,” katanya.

Sumber Harian Metro

Artikel lain: Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV jadi Pusat Saringan Covid-19

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More