Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Universiti Malaya dan Air Selangor Atasi Masalah Pencemaran Sumber Air

Masalah Air Ditangani Universiti Malaya dan Air Selangor

universiti

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menandatangani perjanjian persefahaman membabitkan kerjasama penyelidikan bagi memacu usaha pemeliharaan dan pemulihaan sumber air.

Kerjasama itu akan membantu menangani isu bekalan air termasuk pencemaran sungai, seterusnya menjamin kualiti kehidupan masyarakat terutama penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Mohd. Hamidi Abd. Syukor berkata, kerjasama itu sejajar dengan visi atau wawasan baharu universiti untuk muncul sebagai ‘universiti global yang memberi impak kepada dunia’.

Jelasnya, semua hasil kerja penyelidikan dan penemuan ilmu baharu tidak lagi tersimpan di menara gading, tetapi ia perlu dimanfaatkan kepada negara dan dunia.

“Penyelidikan yang akan dijalankan tertumpu kepada kajian punca serta sumber masalah pencemaran dan cadangan penyelesaian serta kesan daripada gangguan air khususnya di lembangan Sungai Selangor.

“Projek penyelidikan ini berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Lestari/Mampan (SDG) 6 terutamanya sasaran 6.3 iaitu meningkatkan kualiti air ambien demi kesihatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

“Melalui kerjasama ini juga, hasil akhir daripada penyelidikan akan dimanfaatkan oleh Air Selangor bagi membantu meningkatkan keberkesanan dalam kempen kesedaran awam, pendidikan dan amalan air lestari,” kata beliau dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berharap, kerjasama itu akan memberi impak kepada usaha-usaha Air Selangor untuk memastikan perkhidmatan bekalan air yang lestari kepada lebih 8.4 juta pengguna terutama dalam memulihara dan memelihara bekalan air untuk masa hadapan.

“Sebagaimana yang kita tahu, air merupakan satu anugerah yang sangat berharga. Sekiranya aspek memelihara dan memulihara bekalan air diabaikan, kita mungkin akan berdepan dengan situasi yang sangat mencabar dalam memastikan bekalan air yang lestari. Melalui usaha ini, kami mengharapkan lebih ramai orang awam terutamanya generasi muda akan terus peka dengan isu kepentingan air di masa kini dan juga masa depan,” katanya.

Skim Air Sungai Selangor merupakan sumber bekalan air bersih dan selamat terbesar yang menampung kira-kira 60 peratus penggunaan air di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Jawatankuasa ditubuhkan di Sabah untuk atasi masalah setinggan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More