Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Ustaz Ebit Lew Dibenarkan Agih Sumbangan Ketika PKP

Polis Benarkan Ebit Lew agih sumbangan ketika PKP

Beberapa hari ini heboh di media sosial mengenai Ustaz Ebit Lew memberi Sumbangan kepada orang miskin ketika PKP. Ustaz Ebit Lew juga telah dipanggil oleh Polis Cawangan Khas Bukit Aman baru-baru ini. Namun itu tidak ada kena mengena dengan sumbangan yang diberikannya ketika tempoh PKP. Ini berdasarkan laporan akhbar.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew diberi kebenaran untuk memberi sumbangan keperluan terutama makanan kepada golongan tidak berkemampuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya tidak pernah menghalang pendakwah itu untuk berbuat demikian selagi beliau mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Setakat ini, tiada sebarang kertas siasatan akan dibuka terhadap pendakwah itu.

“Bagaimanapun, polis ingin menegaskan bahawa tiada siapa yang boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang ke atas sebarang pelanggaran berkaitan pelaksanaan PKP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Ebit Lew dipanggil memberi keterangan berikutan reaksi orang ramai berhubung tindakannya memaparkan aktiviti kebajikannya ketika PKP.

Berdasarkan pemerhatian orang ramai memberi respon positif dan ada terdapat juga yang tidak senang dengan aktiviti berkenaan.

Kontroversi yang tercetus mengenai perkara ini memaksa polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan kekal terpelihara.

“Dalam melaksanakan apa juga aktiviti orang ramai dinasihatkan mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan topeng muka dan mula serta menggunakan pencuci tangan,” katanya.

Semalam, Ebit Lew dilaporkan berkata, tidak lagi akan memberi bantuan orang tidak berkemampuan secara langsung.

Pendakwah itu berkata, pendirian terbabit diambil selepas dipanggil ke Bukit Aman semalam, bagi memberi keterangan berhubung laporan beberapa pihak yang mempertikaikan khidmat bantuannya yang tular di media sosial.

Kredit :BH

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More