Sumber Rujukan Globalisasi Anda

UTeM tersenarai universiti terbaik Asia

KUALA LUMPUR: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tersenarai dalam universiti terbaik Asia menerusi penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021 yang diumumkan semalam.

Pengiktirafan itu sekali gus melonjakkan lagi kedudukan universiti berkenaan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi terbaik dunia.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim, berkata penarafan baharu itu mengiktiraf peranan dan usaha universiti memperkasakan kualiti pendidikan modal insan bukan saja dalam negara, malah di peringkat global.

“UTeM antara 15 universiti tempatan yang berjaya tersenarai dalam penarafan itu dan berada pada kedudukan 401 terbaik di Asia.

“Pada kedudukan itu, UTeM bersama lima universiti tempatan lain iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang juga baru menyertai senarai penarafan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penarafan itu dinilai berdasarkan lima kriteria utama iaitu pengajaran (persekitaran pengajaran & pembelajaran), penyelidikan (penjanaan dan reputasi), sitasi dalam penerbitan, penjanaan daripada industri (pemindahan pengetahuan) dan pengantarabangsaan (pelajar, staf dan penyelidikan).

Dr Raha berkata, pencapaian itu juga dilihat amat memberangsangkan memandangkan cabaran dihadapi semua institusi pengajian tinggi dunia ketika ini disebabkan kesan pandemik COVID-19.

“Pendekatannya selari dengan acuan dan formula Pelan Strategik UTeM ‘Seven Strategic Goals (SSG) 2021-2025’ yang dilancarkan awal tahun ini,” katanya.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Permohonan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More