Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Vaksinasi Jemaah Haji Akan Diurus Selepas Kuota Diketahui

Pengurusan vaksinasi jemaah haji  akan diputuskan selepas Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan kuota jemaah Malaysia yang dibenarkan ke tanah suci, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammed Saleh Tahir Benten, berhubung jumlah jemaah yang akan diluluskan.

VAKSINASI JEMAAH HAJI DIWAJIBKAN

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi ini juga mengambil maklum berkenaan keperluan bakal jemaah haji Malaysia untuk mengambil vaksin COVID-19, sebelum menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

“Saya akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi melalui Menteri Haji dan Umrah, bagi memastikan sebarang keputusan yang bakal ditetapkan, sama ada dari sudut kuota jemaah haji atau tatacara operasi piawai (prosedur operasi standard), bagi urusan ibadah haji pada tahun ini, membawa kebaikan bersama, khususnya kepada bakal jemaah haji Malaysia,” katanya dalam satu kenyaaan, di sini, hari ini.

VAKSINASI JEMAAH HAJI

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah dalam kenyataan hari ini, berkata vaksin COVID-19 diwajibkan untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadat itu, Julai nanti.

Zulkifli menyambut baik ketetapan kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan vaksinasi jemaah haji tahun ini.

“Usaha ini menzahirkan komitmen Khadim alHaramain al-Sharifain, Raja Salman Abdulaziz dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam memastikan kesihatan jemaah haji, seterusnya kelancaran ibadah haji pada tahun ini berada dalam keadaan yang terbaik,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More