Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kalahkan 900 Peserta Seluruh Dunia, Zyson Terima Ucapan Dari Agong

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada Zyson Kang Zy Shun, murid sekolah rendah berumur 9 tahun dari SJK(C) Pin Hwa 1, Setia Alam, Selangor, atas kejayaan beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Lunar Loo Challenge (Kategori bawah 11 tahun) yang dianjurkan oleh Pentadbiran Aeroangkasa dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA).

Ciptaan beliau, Spacesuit Lunar Toilet, telah menewaskan hampir 900 peserta lain dari seluruh dunia.

Zyson Juara Nasa
Sumber gambar Malay Mail

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Zyson yang sekali gus turut membanggakan rakyat Malaysia dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat beliau menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan memberi yang terbaik serta berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Zyson dan mendoakan semoga beliau sentiasa dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta terus menyumbang kepada negara.

Zyson memenangi pertandingan tersebut dengan ciptaannya yang memudahkan angkasawan untuk membuang air sewaktu berada dalam kapal angkasa. Ciptaan unik ini tidak memerlukan tenaga elektrik atau bateri, hanya menggunakan tenaga kinetik daripada gerakan; justeru mengurangkan risiko alat tersebut untuk rosak.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ISTANA NEGARA (@istana_negara) on

Alat tersebut menggunakan picagari yang dilekatkan pada kaki angkasawan untuk mengawal tekanan dalam saluran tiub bagi membawa cecair bahan buangan ke dalam kantung hidrogel, untuk menukarkannya menjadi pepejal. Pertandingan Lunar Loo Challenge telah dianjurkan oleh NASA bagi merancang misi ke bulan pada 2024.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More