Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kadar Zakat Fitrah Pahang Kekal RM7

Zakat Fitrah Negeri Pahang

Zakat Fitrah

PEKAN: Kadar zakat fitrah di Pahang tahun ini kekal RM7 sebagaimana diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata kadar bayaran berkenaan kekal sejak 2013.

Beliau berkata, 942 amil ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah.

“Kaedah bayaran ini tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara yang digariskan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

“Bagaimanapun, MUIP menggalakkan orang ramai membuat pembayaran secara dalam talian melalui platform ezakat.muip.gov.my dan PahangGo,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2021 di Pejabat MUIP, di sini hari ini.

Ahmad Hairi berkata, mana-mana pihak yang didapati memungut zakat fitrah tanpa kebenaran MUIP, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 .

Katanya, jika sabit kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi membendung penularan pandemik COVID-19, beberapa garis panduan ditetapkan bagi pembayaran melalui amil di kaunter bayaran yang dibuka.

“Antaranya tiada lafaz akad dan bersalaman, hanya doa ringkas dibenarkan, mengamalkan SOP sedia ada termasuk penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

“Individu bergejala tidak dibenarkan hadir dan pembayar diminta menyediakan wang secukupnya mengikut jumlah yang perlu dibayar.

“Kaunter bayaran hanya boleh dibuka di masjid, surau dan tempat dibenarkan manakala bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pembukaan kaunter zakat fitrah tidak dibenarkan,” katanya.

Ahmad Hairi berkata, untuk rekod jumlah pembayar zakat di negeri ini pada 2018 seramai 1,024,007 orang dengan jumlah kutipan sebanyak RM6.2 juta.

“Pada 2019, jumlah pembayar dan jumlah kutipan meningkat kepada 1,040,549 orang (RM6.3 juta), manakala tahun lalu, bilangan pembayar, 1,012,073 (RM6.1 juta).

“Tahun lalu, bilangan bayaran melalui kaedah dalam talian cukup tinggi iaitu seramai 688,587 orang berbanding melalui amil hanya 323,426 orang ekoran penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Program Hackathon Politik 2021

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More