Resepi Roti Jala Lembut, Dimakan Bersama-Sama Kuah Kari Ayam

Kali ini admin ingin kongsikan resepi roti jala.
Apa itu roti jala?
Roti jala adalah sejenis kuih atau makanan ringan tradisional Melayu yang berbentuk jala atau jaring dan ia diperbuat daripada adunan tepung, telur dan santan, dan biasanya dihidangkan bersama kuah kari atau kuah manis seperti kuah durian.
Roti jala dipercayai berasal dari masyarakat Melayu di Johor, Semenanjung Malaysia, Sumatera Utara, dan Kepulauan Riau.
Bentuknya yang berjala atau berjaring adalah hasil daripada penggunaan acuan khas yang mempunyai lubang-lubang kecil, yang membolehkan adunan dicetak secara tipis dan berjala di atas kuali leper
Isi Kandungan
Resepi Roti Jala
Resepi roti jala yang admin ingin kongsikan ini sangat mudah untuk dibuat dan resepi ini adalah perkongsian daripada Che Nom.
Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.
Bahan-Bahan
Bahan-bahan untuk resepi roti jala dan kuah kari ayam adalah seperti berikut:
| Bahan Untuk Roti Jala | – 3 ½ Cawan Santan Cair – 3 Cawan Tepung Gandum – 1 Sudu Kecil Garam – ¾ Sudu Kecil Serbuk Kunyit – 1 Biji Telur – 3 Sudu Besar / ¼ Cawan Mentega Cair – Minyak Masak |
| Bahan Untuk Kari Ayam | – 5 Biji Bawang Merah – 4 Ulas Bawang Putih – 2 Inci Halia – Rempah 4 Sekawan (1 Batang Kayu Manis, 2 Kuntum Bunga Lawang, 4 Biji Buah Pelaga, 2 Kuntum Bunga Cengkih) – 3 Sudu Besar Rempah Kari Daging – 1 Sudu Besar Serbuk Cili – Sedikit Air – ½ Cawan Minyak Masak – 1 Tangkai Daun Kari – ½ Hingga 1 Ekor Ayam Saiz Sederhana – ½ Hingga 1 Batang Lobak Merah – 2 Biji Kentang – 2 Hingga 3 Sudu Besar Air Asam Jawa – 2 Hingga 3 Cawan Santan Cair – 1 Cawan Santan Pekat – 2 Hingga 3 Sudu Besar Kerisik – Garam Secukup Rasa |
Cara Penyediaan
Resepi roti jala yang admin ingin kongsikan ini adalah seperti langkah-langkah berikut:
- Masukkan santan cair, tepung gandum, garam, serbuk kunyit, telur dan mentega cair ke dalam pengisar. Masukkan santan cair dahulu ke dalam pengisar supaya tepung tidak berketul-ketul dan melekat pada bawah pengisar.
- Kisar sampai halus.
- Kemudian, tapis adunan untuk mengelakkan dari adunan menjadi berketul.
- Panaskan kuali dengan sedikit minyak masak (ratakan dengan tisu) supaya adunan tidak melekat.
- Masukan adunan ke dalam acuan.
- Kemudian, tirai roti jala.
- Apabila roti jala kelihatan kekuningan dan agak garing, angkat dan gulungkan seperti di dalam gambar dibawah.
- Tirai roti jala sehingga habis adunan.

Roti jala sesuai dihidangkan bersama-sama dengan kuah kari.
Untuk membuat kuah kari ayam yang sesuai dimakan bersama-sama roti jala seperti di atas adalah seperti langkah-langkah berikut:
- Cincang kasar dan tumbuk hancur bawang merah, bawang putih dan halia.
- Tumbuh halus semua bahan rempah 4 sekawan.
- Bancuh rempah kari daging, serbuk cili dan air.
- Panaskan minyak masak.
- Tumis bahan yang telah ditumbuk tadi sehingga kekuningan.
- Masukkan rempah 4 sekawan, daun kari, bancuhan rempah kari daging dan air (air dari bekas bancuhan rempah dan lesung batu).
- Masak sehingga rempah menjadi kering dan kemudian tambah air. Ulang sehingga 3-4 kali.
- Apabila rempah sudah kelihatan masak, masukkan ayam.
- Potong dadu lobak merah dan potong kentang.
- Masukkan lobak merah dan tutup seketika supaya ia masak sedikit.
- Kemudian, masuk air asam jawa secukupnya.
- Masukkan pula kentang dan santan cair (santan perahan kedua). Jika anda menggunakan santan kotak, masukkan air putih sahaja utk langkah ini.
- Teruskan masak sehingga kentang empuk.
- Masukkan santan pekat (untuk yang menggunakan santan kotak boleh masukkan pada langkah ini).
- Masukkan kerisik.
- Tambah sedikit air mengikut kepekatan kuah.
- Kemudian, masukkan garam.
- Renehkan sehingga semua masak sebati.
- Sedia untuk dihidang bersama-sama roti jala tadi.
Selain resepi roti jala ini, anda juga boleh dapatkan lagi resepi-resepi terkini, viral dan menarik DISINI.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua diluar sana! Selamat mencuba!



