Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Malaysia MADANI: Konsep, Visi, Misi, Nilai Teras & Rasional Logo

Berikut dikongsikan sedikit maklumat penting mengenai Malaysia MADANI yang kita semua rakyat Malaysia perlu ambil tahu.

Isi Kandungan

Apa Itu Malaysia MADANI?

Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

Malaysia MADANI ialah sebuah kerangka dasar dan falsafah kerajaan Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Istilah “Madani” berasal dari perkataan Arab yang bermaksud “sivil” atau “beradab”, merujuk kepada masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian, dan kebendaan, serta mengamalkan tadbir urus yang baik dan keadilan.

Malaysia MADANI: Konsep, Visi, Misi, Nilai Teras & Rasional Logo 1

MADANI merupakan sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu-isu baru dan ketidakpastian.

Enam (6) nilai teras MADANI dicerakin sebagai kerangka dasar dan falsafah yang berkait rapat dan bersepadu, dengan setiap satu menguatkan yang lain.

MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambilkira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.

Konsep

Malaysia MADANI dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi tata keloka dan pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak bertunjangkan empat (4) Teras Strategik Utama iaitu:

  1. Membina Semula Ekonomi.
  2. Menjamin Kesejahteraan Insan.
  3. Reformasi Institusi Demokrasi dan Perundangan.
  4. Mewujudkan Pentadbiran Beramanah.

Konsep MADANI bukanlah sesuatu yang baru bagi Dato’ Seri Anwar, ini kerana pada tahun 1997 beliau telah pun membincangkan perkara ini dalam buku tulisan beliau ‘The Asian Renaissance‘ (kebangkitan Asia).

Ketika beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau telah pun menulis buku bertajuk Membangun Negara MADANI bagi merealisasi Malaysia MADANI.

Malaysia MADANI berfokus untuk melahir dan memampan nilai individu masyarakat Malaysia bagi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

Dalam mencapai hasrat tersebut, terdapat tiga (3) keutamaan yang akan diberi tumpuan penuh, iaitu:

  • Keutamaan 1: Membasmi Kemiskinan.
  • Keutamaan 2: Penstrukturan semula ekonomi.
  • Keutamaan 3: Memulih dan menjana ekonomi.

Misi

Matlamat kita adalah untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju berteraskan 6 nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama.

Visi

Mencorak masa hadapan Malaysia dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia, dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan.

6 Nilai Teras

Konsep ini diilhamkan daripada 6 nilai teras yang saling berkaitan dan menyokong satu sama lain. Berikut adalah 6 nilai teras Malaysia MADANI tersebut, iaitu:

KemampananMutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan.
KesejahteraanKesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.
Daya CiptaPembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.
HormatPerilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia.
KeyakinanMenghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan.
IhsanBelas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan.

Malaysia MADANI merupakan panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi.

Malaysia MADANI bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.

Kerangka Malaysia MADANI menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi khazanah dan kearifan tempatan.

Berikut adalah maksud warna pada logo Malaysia MADANI, iaitu:

  • Warna biru bermaksud kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan.
  • Warna kuning bermaksud nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan.
  • Warna merah bermaksud keberanian, jatidiri dan keazaman.
  • Warna putih bermaksud keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni.
Malaysia MADANI: Konsep, Visi, Misi, Nilai Teras & Rasional Logo 2

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengambil tahu mengenai perkara ini dan diharapkan info ini sedikit sebanyak bermanfaat untuk anda semua di luar sana!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. AcceptRead More