Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Isi Kandungan
Apa Itu Kurikulum Persekolahan 2027?
Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) ialah kurikulum kebangsaan baharu yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggantikan kurikulum sedia ada secara berperingkat mulai tahun 2027, bermula dari Prasekolah sehingga Sekolah Menengah dengan bermatlamat untuk melahirkan murid yang seimbang, berdaya saing global, dan menghargai kepelbagaian dengan penekanan pada pembangunan kompetensi holistik, literasi, numerasi, pemikiran kritis, kreativiti, dan pendidikan karakter, selaras dengan keperluan abad ke-21.
Matlamat Kurikulum Persekolahan 2027 adalah untuk:
- Mengamalkan kehidupan yang seimbang dalam segala aspek kehidupan.
- Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
- Menghargai perpaduan dan keharmonian serta menghormati kepelbagaian.
- Menjadi warganegara yang beradab dan bertanggungjawab.
- Berdaya saing pada peringkat global.
Kurikulum baharu persekolahan 2027 memberi penekanan khusus kepada pembangunan murid yang menyeluruh kerana ia menyediakan murid dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa dan akan datang selain turut menekankan kepada aspek pembinaan karakter berasaskan nilai.

Kenapa Perlu Berubah?
Sebab-sebab utama kenapa kurikulum persekolahan perlu diubah bermula tahun 2027 adalah seperti berikut:
| Dapatan Sesi Libat Urus, Resolusi Persidangan, Tinjauan & Kajian Kurikulum | – Kurikulum fleksibel, relevan dan kontekstual untuk mencapai budaya pendidikan sepanjang hayat. – Membentuk generasi yang memiliki growth mindset dan warga berdaya tahan. |
| Rujukan Kepada Dasar Negara, Teori Perkembangan & Aspirasi Murid | – Pembangunan kurikulum berdasarkan kepada hasrat dan aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kanak-kanak Negara, Dasar Perpaduan Negara, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Pendidikan Digital. – Fokus pembelajaran perlu selari dengan kematangan usia dan perkembangan pemikiran kanak-kanak. – 6 Aspirasi Murid dalam PPPM 2013-2025 disesuaikan dengan keperluan masa akan datang. |
| Trend Global, Pentaksiran Antarabangsa & SDG | – Trend Global: Pembangunan kurikulum berasaskan kompetensi. – Sasaran Malaysia untuk meningkatkan kedudukan pencapaian TIMSS dan PISA. – SDG: Kesedaran dan tanggungjawab terhadap ekonomi, sosial dan persekitaran. – Mengatasi kemiskinan pembelajaran. |
| Malaysia Madani & Teras Utama KPM | – Konsep Malaysia Madani dan Karamah Insaniah dalam pembentukan karakter generasi akan datang. |
Perubahan kurikulum ini juga diselaraskan dengan dasar negara, arah aliran global, konsep Malaysia MADANI, serta 7 Teras Nadi Keunggulan KPM untuk memastikan relevansi dan keberkesanannya.
Reka Bentuk Kurikulum Persekolahan 2027
Kurikulum berasaskan standard menetapkan sasaran yang harus dicapai oleh murid dalam pengetahuan, kemahiran dan nilai serta tahap tertentu.
Kurikulum berorientasikan kompetensi menekankan keberhasilan proses pembelajaran yang holistik dan membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan sikap berasaskan standard yang ditetapkan. Pendekatan ini menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik serta bermakna.
Kurikulum Persekolahan 2027 akan menggabungkan kedua-dua pendekatan ini.
Tahap Persekolahan & Fokus Kurikulum 2027
Fokus kurikulum 2027 mengikut tahap persekolahan adalah seperti berikut:
| Tahap | Fokus Kurikulum |
|---|---|
| Prasekolah | Kemahiran berkomunikasi, bersosialisasi dan pembentukan karakter. |
| Tahap 1 (Tahun 1 & Tahun 2) | Penguasaan literasi dan numerasi serta pembentukan karakter. |
| Tahap 2 (Tahun 3 & Tahun 4) | Aplikasi kemahiran, pengetahuan dan nilai serta pembentukan karakter. |
| Tahap 3 (Tahun 5 & Tahun 6) | Kemahiran menganalisis dan menghasilkan inovasi serta pembentukan karakter. |
| Menengah Rendah (Tingkatan 1 – Tingkatan 3) | Meneroka pelbagai bidang ilmu dan didorong mengenali minat dan potensi diri termasuk perkembangan bakat serta pembentukan karakter. |
| Menengah Atas (Tingkatan 4 & Tingkatan 5) | Mengikuti laluan bidang yang ingin diceburi ke peringkat pengajian tinggi dan pembentukan karakter. |
Pendekatan Baharu Dalam Kurikulum Persekolahan 2027
Berikut adalah beberapa pendekatan baharu di dalam Kurikulum Persekolahan 2027, iaitu:
| Pembentukan Karakter | 1. Membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan warganegara Malaysia yang sejahtera. 2. Berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi agar murid bersedia dan berfikiran positif dalam pembelajaran. 3. Bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas. 4. Pelaksanaan melalui slot masa yang khusus dalam jadual waktu. |
| Penekanan Kepada Literasi & Numerasi | 1. Memastikan murid seawal persekolahan menguasai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira. 2. Intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi. 3. Meningkatkan kesediaan mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya. |
| Kelas Pembelajaran Bersepadu | 1. Bermula di sekolah rendah dan dimasukkan dalam jadual waktu. 2. Pendekatan PdP yang menggabungkan kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu ke arah pengalaman pembelajaran bermakna. 3. Pembelajaran murid menjadi lebih holistik, relevan dan berhubung kait dengan dunia sebenar. |
Garis Masa Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027
Pelaksanaan bagi peringkat Prasekolah akan bermula pada tahun 2026 sebagai persediaan awal bagi murid mengikuti kurikulum baharu di tahap seterusnya.
Bagi murid Tahun 1 dan Tingkatan 1, pelaksanaan KP2027 akan bermula pada tahun 2027. Ini menandakan permulaan penggunaan kerangka kurikulum yang menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi secara berperingkat.
Pelaksanaan secara berperingkat ini memberi masa kepada guru, murid dan pihak sekolah untuk membuat persiapan, serta memastikan peralihan dari kurikulum lama ke kurikulum baharu berjalan dengan lancar.
Kurikulum ini juga mencadangkan kurikulum sedia ada akan terus digunakan untuk murid-murid yang telah berada dalam aliran pembelajaran sebelum KP2027 dilaksanakan sepenuhnya pada kohort baharu mulai 2027.
Pelan pelaksanaan ini turut termasuk kursus orientasi dan latihan untuk guru sebagai persediaan menghadapi kurikulum baharu.

Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut mengenai Kurikulum Persekolahan 2027 ini, sila rujuk laman rasmi KPM dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!



